Tarikh hari ini:-

Selasa, 17 Ogos 2010

Merawat Suami Bisu

Merawat Suami Bisu


On 11/03/2009, in BUKU: Bercinta Sampai ke Syurga, by Abu Saif


“Yang itu mesti husband and wife,” saya mengusik Ummu Saif.

“Mana abang tahu?” isteri saya berhenti menjamah sup cendawan tengah hari itu. Melihat ke arah pasangan di sudut restoran.

“Seorang baca surat khabar, seorang baca majalah. Apa faedahnya keluar bersama jika hanya mahu membaca bersama, kecuali semata-mata kerana mereka masih suami isteri?” saya cuba berteori.

Kami bukanlah sengaja mahu menyibuk tentang urusan orang lain. Tetapi melihat pasangan suami isteri yang sepi, sunyi, tiada suara dan tiada bicara, amat menghiris rasa.

Malah mengheret ingatan kepada beberapa ketika dalam rumahtangga kami sendiri tatkala sindrom sepi dan diam ini melanda. Melakukan muhasabah ke atas diri sendiri, berkongsi kisah dengan kenalan dan membaca coretan di sana sini tentang tabiat para suami mendiamkan diri, atau lebih tepat, membatukan diri… membawa saya kepada beberapa titik renungan untuk difikirkan bersama.


“Abang, Ani tanya abang ni. Kenapa abang selalu balik lambat?” tanya seorang isteri kepada si suami.

Sepi.

Tangannya ligat mencabut tali leher, peluh di dahi dikeringkan sahaja dengan satu kesatan di lengan. Namun mulutnya terus terkunci. Tidak bersuara.

“Abang dengar ke Ani tanya ni?” tanya si isteri lagi.

“Kalau Ani ada buat salah, cakaplah bang. Macam mana Ani nak tahu apa masalah abang, kalau abang diam macam ini?” beliau semakin hilang sabar dengar kerenah si suami.

Lelaki yang dahulunya romantik, menghantar 30 sms sehari di era bulan madu mereka, dan sering mengucapkan perkataan sayang, kini membatu. Sepi. Tidak bersuara, tidak berbunyi.

Namun, seorang suami yang mendiamkan diri itu hakikatnya bukanlah tidak bercakap. Telinganya jauh sekali daripada pekak dan tidak mendengar soalan bertubi-tubi yang diajukan si isteri. Setiap soalan itu dijawab oleh sang suami dengan panjang lagi berjela. Namun semuanya dijawab tanpa suara. Hanya sebuah monolog di dalam hati. Apa yang terlontar hanyalah sebuah kesepian yang membunuh perasaan isteri.

Diam itu emas…

Tetapi emas yang ini tiada indahnya, malah beracun memusnahkan rumahtangga.

Saya juga seorang suami. Ada masanya mendiamkan diri itu sangat memberikan keselesaan. Bukan sahaja untuk diri, malah dirasakan diam itu adalah pilihan terbaik untuk reaksi kepada keadaan-keadaan tertentu. Tetapi saya cepat disedarkan oleh isteri bahawa diam itu menyulitkan penyelesaian. Ia misteri yang membinasakan.

Kali ini, dengan jiwa empati saya mengajak para isteri untuk meneliti rentetan-rentetan peristiwa yang menjadi punca para suami hilang bicara. Para isteri boleh bersikap defensif dan menafikan faktor-faktor ini, tetapi keengganan memprosesnyai, hanya akan menambahkan sakit hati mereka sebagai isteri, melihat suami terus diam sepi seribu bahasa.

AKUMULATIF

Jarang sekali suami tiba-tiba menjadi pendiam.

Bersuamikan seorang lelaki pendiam yang begitu semenjak di hari menyatakan persetujuan menerimanya sebagai suami, sang isteri tidak harus buat-buat terkejut. Diamnya mungkin petanda beliau masih lelaki yang sama seperti di hari pernikahan anda.

Tetapi kebimbangan kita adalah pada suami yang beransur-ansur menjadi pendiam. Kesan jangka panjang yang bersifat akumulatif. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit, satu-satu lama-lama jadi bisu. Justeru, sebagaimana seorang suami yang bercakap beransur-ansur menjadi pendiam, maka usaha untuk mengembalikan percakapannya juga wajar dibuat secara berhemah, bagai menarik rambut di dalam tepung. Rambut tidak putus dan tepung tidak tumpah bertebaran.


Apakah ini kesudahan suamimu?

KEPERCAYAAN DAN KEYAKINAN

Sebuah perkahwinan, bermula dengan ikatan janji setia yang terbina di atas beberapa teras. Antara yang utamanya adalah soal KEPERCAYAAN. Mustahil untuk kita bayangkan sebuah rumahtangga yang dibina tanpa ada rasa percaya di antara suami dan isteri berkaitan ketelusan, kejujuran dan keikhlasan masing-masing. Justeru, perbualan romantik dan indah antara suami dan isteri sentiasa seiringan dengan rasa percaya dan yakin di antara mereka berdua.

Apabila seorang suami semakin merosot kualiti komunikasinya, ada kemungkinan ia berpunca daripada merosotnya keyakinan beliau terhadap sang isteri. Ia bukanlah berkaitan dengan krisis orang ketiga atau hal-hal luaran yang mencabar rumahtangga tersebut. Sebaliknya, suami semakin terjejas keyakinannya terhadap kemampuan isteri berdepan dengan realiti.

“Mampu dan tahankah isteriku untuk mengetahui apa sebenarnya yang terbuku di hati ini?” mungkin soalan sebegini bermain di benak fikiran suami, tatkala beliau diam membatu di hadapan isteri yang masih menyoal tanpa henti.

Bukan beliau tidak pernah bersuara dan menyatakan pendirian, tetapi reaksi isteri yang memedihkan ketika itu menyebabkan suami hilang kepercayaan. Tanda tanya ini sering timbul disebabkan oleh perbuatan isteri yang berulang kali tanpa sedar, merosakkan kepercayaan suami bahawa dia benar-benar terbuka dan sabar untuk menguruskan ‘isu sebenar’.

Cuba kenangkan kembali, pernahkah sang suami menegur anda atas beberapa perkara yang dirasakan tidak kena? Bagaimanakah reaksi anda ketika itu? Adakah anda menghargai teguran tersebut, memberikan tindak balas yang baik, atau anda menyambut teguran itu dengan memuncung sepanjang hari, mengangkat punggung melarikan diri, atau membalas teguran dengan jawapan alasan yang bertubi-tubi?

Suami yang tidak pelupa itu, berkemungkinan besar masih ingat akan kejadian-kejadian tersebut. Bahawa biar pun sang isteri meminta-minta luahan isi sebenar sang suami, hakikatnya si isteri bukanlah kuat benar untuk mendengar ‘kisah benar’ yang diminta. Justeru sifat ‘sabar’ luar biasa kaum lelaki, ditelannya sahaja pandangan diri yang sering diperlekeh sebelum ini untuk dibawa ke kubur nanti. Dan kesan sampingannya, si suami semakin mengeras jadi batu.

“Lebih baik dia tidak tahu apa sebenarnya pandanganku tentang rumahtangga ini kerana aku boleh hidup dengannya. Sabarku boleh sampai ke mati. Tetapi aku mungkin tidak mampu lagi sabar andai dirinya membesar-besarkan masalah ini. Perasaanku tidak penting. Apa yang penting adalah keselamatan rumahtangga!” hati suami berkata-kata dengan panjang lebar, tanpa suara.

Oleh itu, seorang isteri yang mahu mengubah sifat pendiam suami perlu berusaha meyakinkan dirinya semula. Bahawa tatkala si isteri meminta suaminya berkata-kata, ia bukanlah permintaan ‘mengada-ngada’, sebaliknya si isteri memang bersedia untuk duduk bersemuka dan berbicara. Kembalikanlah kepercayaan suami dengan beberapa pendekatan berikut:

HAPUSKAN TEKANAN

Mengajak kepada perbincangan dalam suasana yang penuh tekanan bukanlah tindakan yang bijak. Malah suami mungkin bertindak bijak mendiamkan diri, tatkala isteri menembak peluru taburnya kepada suami ketika kaki baru sebelah melangkah masuk ke rumah sekembalinya dari pejabat.

Sabarkan diri. Beri masa kepada suami untuk bertenang. Malah lebih baik jika anda usahakan appointment dengan memberitahu suami bahawa anda ingin mengajaknya minum hot chocolate selepas anak-anak tidur, untuk berbual-bual tentang hal ehwal anda berdua.

Gurau senda juga amat berkesan untuk mencairkan kebekuan seorang suami. Bilakah kali terakhir anda mempamerkan sense of humor kepada suami? Atau dialog yang keluar dari mulut anda semuanya bersifat masalah, permintaan, arahan, tekanan, teguran dan segala macam benda yang serius lagi menambah tekanan.

Berguraulah dengan suami.

Jika tiada lawak baru, ungkit sahaja lawak-lawak lama yang pernah menyebabkan anda berdua ketawa terkekek-kekek suatu ketika dahulu. Jarang seorang lelaki immune terhadap lawak jenaka. Malah mungkin ketiadaan unsur inilah yang menjadi sebab utama mengapa suami ceria dan ketawa berdekah-dekah semasa minum petang dengan kawan-kawannya, tetapi sepi tanpa bicara tatkala duduk di sisi isteri yang dicintainya.

IKTIRAF KESILAPAN

Tidak rugi bagi seorang isteri untuk merendahkan diri mengiktiraf beberapa kesilapannya yang lalu. Menyatakan kekesalannya membentak teguran suami pada suatu ketika dahulu. Yakinkan suami bahawa anda bukan lagi isteri yang ‘cepat melatah’, melenting dan mengamuk semasa suami bersuara pada suatu ketika dahulu.

Sikap isteri yang membantah pandangan suami sedemikian rupa mungkin telah membina satu persepsi di minda suami bahawa isterinya adalah seorang wanita yang ego. Buktikan kesalahan persepsi itu, bahawa anda adalah isteri yang masih duduk sama rendah berdiri sama tinggi bersama suami di sisi.

Mungkin bukan salah anda, tetapi demi mencungkil suara suami yang bagai disumpah sang gelembai itu, rendahkanlah dirimu. Anda boleh terus defensif, namun harganya ialah bersuamikan lelaki bisu.

BANTUAN ORANG TENGAH

Jika sms dan email anda tidak berhasil, bicara dengan suara bernada rendah tidak berjaya, mungkin bantuan orang tengah boleh membantu.

Apakah anda mahu meminta bantuan best friend anda atau best friend suami?

Secara logiknya, usaha menggunakan orang tengah ini akan lebih berpotensi untuk berhasil jika anda cuba meminta bantuan orang kepercayaan suami.

Berhubung dan bincanglah dengannya sebaik mungkin. Anda mungkin juga terpaksa berjuang untuk membina kepercayaan di antara anda dengan teman akrab sang suami kerana ada kebarangkalian dia itu juga dari spesis yang sama dengan suami anda sendiri. Namun tanpa tekanan dan gangguan-gangguan kesilapan lalu, usaha untuk berkomunikasi dengan sahabat suami jauh lebih mudah berbanding usaha untuk berkomunikasi dengan suami sendiri.

Jika anda bernasib baik, beliau mungkin akan berkongsi dengan anda isi-isi hati suami tatkala beliau bercakap tanpa suara semasa di hadapan anda. Dia tidak meluahkannya kepada anda, tetapi kepada teman karibnya. Anda berhak untuk berkecil hati, tetapi abaikanlah perasaan itu. Sebaliknya rancangan strategi yang sesuai dengan ‘pendedahan’ yang telah anda perolehi daripada sahabatnya itu tadi.

Anda boleh jadikan pendedahan itu sebagai alat untuk memusnahkan terus rumahtangga, atau anda juga boleh menjadikannya sebagai alat penyelamat. Terpulang…

Apa yang pasti, hanyalah satu.

Perempuan sering tidak rasional semasa membuat bising, lelaki pula sering tidak rasional semasa mendiamkan diri.

Belajarlah untuk mengurangkan kebisingan, wahai sang isteri. Belajarlah untuk bersuara, wahai sang suami.



ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 Ampang

2 ulasan:

  1. Salam semua…

    Nisbahnya… lelaki dikurniakan 9 kekuatan akal sedangkan wanita 1 kekuatan akal sahaja. Wajarkah kesilapan yang dilakukan oleh isteri yang mungkin tidak disengajakan tetapi suami hanya mengambil sikap membisu dan membatu. Teguran dan nasihat hanya diberikan sekali dan menganggap isteri sepatutnya faham dan jangan mengulangi kesalahan yang sama,

    Sewajarnya kekuatan akal lelaki digunakan secara hikmah untuk menangani permasalahan yang ditimbulkan secara sengaja atau tidak dari pihak isteri. Membatu dan membisu merupakan satu escapism untuk mengelak tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah terhadap suami.

    Membisu dan membatu hanya akan memburukkan keadaan rumahtangga… perbuatan tersebut… dengan kata lain telah membiarkan isteri dipermainkan oleh 9 perasaan yang ada pada dirinya.. tanpa dipantau dan dibantu oleh pihak suami akan menyebabkan isteri semakin jauh dan akhirnya mengakibatkan rumahtangga menjadi hura hara..

    Bila emosi isteri ternggangu akan memberikan implikasi yang negatif juga terhadap anak-anak.

    Lelaki ditugaskan untuk memimpin dan membimbing kaum wanita … ia adalah ketetapan Allah. Perbuatan menghukum semata-mata akan menimbulkan mudharat yang lebih besar.

    الرجال قومون على النساء ….. sehingga akhir ayat… firman Allah tersebut membuktikan kekuatan dan tanggungjawab yang besar yang perlu dipikul oleh seorang suami dalam menyelesaikan permasalahan yang timbul dalam sesebuah keluarga.

    Wanita kaum yang lembut mudah untuk berkorban untuk suaminya jika dirinya dihargai, dicintai dan disayangi…. tetapi wanita juga mudah terluka jika dikasari dihina dan tidak dipedulikan. Implikasi kekasaran dari pihak suami wanita akan patah dan terus jauh dan jauh dari suami..

    Justeru itu… sifat membisu dan membatu bukan penyelesaian bagi menangani isu rumahtangga tetapi ia merupakan sikap tidak matang dan tidak bertanggungjawab oleh pihak suami..

    Sekadar pandangan dari saya… Wassalam.

    BalasPadam
  2. Spt lazimnya.. Isteri selalu dijadikn objek utama dlm mslh rumatangga..biarpun terang2 kesalahan dtg drpihak suami ttp yg disaran diberi nasihat adlh isteri sedangkn kita tahu isteri tdk mempunyai apa2 kuasa mutlak ke ats suami.. Kita lbh selesa menekan isteri drpd suami..wpun kita tahu suami adlh pemimpin..pembimbing bahkn diberi kelebihan yg begitu byk sekali ke ats isteri.. Sampai ke hari ini kita sukar utk menukar mentaliti ini.. Ini menyebabkb semakin isteri tertekan dn sering menyalahkn agama..nauzubillah..

    BalasPadam