PENGENALAN
Kesahtarafan anak adalah berkait rapat dengan perkahwinan yang sah serta tempohnya untuk melahirkan seseorang anak. Dalam konteks ini seseorang anak yang dilahirkan perlu dinilai samada ianya Anak Sah Taraf atau Anak Tak Sah Taraf. Ini adalah kerana ia mempunyai kesan berbeza dari sudut keturunan, pergaulan dan hak serta kepentingannya.
PENGERTIAN MENURUT SYARAK
Anak Tak Sah Taraf ialah anak yang dilahirkan dari perhubungan yang tidak sah di sisi Hukum Syarak (Luar Nikah) samada akibat daripada zina atau rogol dan anak tersebut lahir kurang dari enam bulan Hijrah dari tarikh perkahwinan atau seseorang anak yang dilahirkan selepas empat tahun pembubaran perkahwinan disebabkan kematian suami atau perceraian dan ianya tidak berkahwin semula.
Manakala Anak Sah Taraf adalah anak yang lahir melalui perkahwinan yang sah dan kelahirannya setelah enam bulan hijrah atau lebih dari tarikh pernikahan atau dilahirkan dalam tempoh empat tahun selepas perceraian dan ianya tidak berkahwin semula.
IMPLIKASI DARI SUDUT NASAB DAN PENAMAAN
Jika seseorang anak lahir dan ianya tidak sah taraf maka anak tersebut tidak boleh dibinkan kepada bapa zina sebaliknya hendaklah dibinkan atau dibintikan Abdullah atau lain-lain nama “Asma ul-Husna” berpangkalkan Abdul. Seseorang anak tak sah taraf juga tidak boleh dibinkan kepada ibunya kerana bleh menimbulkan kesan psikologi kepada anak tersebut.
IMPLIKASI DARI SUDUT PERGAULAN DAN HUBUNGAN
Dari segi perspektif Islam anak tak sah taraf bebas menjalin apa-apa hubungan atau aktiviti seperti apa yang dilakukan oleh kanak-kanak Islam yang sah tarafnya.
Pergaulan anak tak sah taraf dengan lelaki yang melakukan persetubuhan dengan ibunya hukumnya adalah sama dengan lelaki asing yang tiada kaitan dengannya kecuali jika lelaki tersebut menjadi suami ibunya maka hubungannya adalah seperti ayah tiri.
Perhubungan antara anak tak sah taraf dengan ibunya adalah sama dengan anak sah taraf yang lain. Begitu juga hubungan dengan anak-anak sebelah ibunya yang sah taraf, sama seperti hubungan kekeluargaan yang lain tetapi perhubungan ini tidak boleh diperluaskan kepada keluarga sebelah bapa yang tidak sah kerana keluarga bapa bukan termasuk ahli keluarganya.
IMPLIKASI DARI SUDUT NAFKAH
Nafkah atau saraan hidup anak tak sah taraf adalah menjadi tanggungjawab ibunya bukan bapa yang tak sah. Ini adalah kerana anak tak sah taraf hanya dinisbahkan kepada ibunya serta keluarganya bukan kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya. (Lihat Seksyen 68 Enakmen Keluarga Islam Kedah 1979)
IMPLIKASI DARI SUDUT PENJAGAAN
Penjagaan anak tak sah taraf adalah sama seperti tanggungjawab didalam memberi nafkah iaitu semata-mata kepada ibu dan saudara mara sebelah ibu.
Bapa yang tak sah langsung tiada hak ke atas anak tersebut melainkan melalui perintah undang-undang. (Lihat Seksyen 73 Enakmen Keluarga Islam Kedah 1979)
IMPLIKASI DARI SUDUT HARTA PESAKA
Anak tak sah taraf tidak terputus hubungan kekeluargaan ibunya. Begitu juga ibu tiadk terputus hubungan kekeluargaan dengan anak tersebut. Oleh yang demikian kedua-duanya saling boleh mewarisi pesaka antara satu sama lain.
Sebaliknya seseorang anak tak sah taraf tidak boleh mempesakai harta bapanya yang tak sah. Begitu juga bapa tidak boleh mewarisi harta anak tersebut kerana kedua-duanya telah terputus hubungan kekeluargaan.
IMPLIKASI DARI SUDUT PERKAHWINAN DAN PERWALIAN
Seseorang anak tak sah taraf perempuan boleh berkahwin dengan seseorang lelaki dengan sah tetapi perwalian dipegang oleh wali hakim. Lelaki yang menyetubuhi ibunya tanpa akad nikah yang sah samada dia berkahwin atau tidak dengan ibunya selepas itu tidak sah menjadi walinya.
IMPLIKASI DARI SUDUT KEMATIAN
Jika anak tak sah taraf tersebut meninggal dunia sebelum baligh maka agamanya berpandukan kepada agama ibunya. Jika ibunya Islam maka ianya hendaklah diuruskan secara Islam. Jika ibunya bukan beragama Islam maka anak tak sah taraf tersebut dihukum sebagai bukan Islam sekalipun yang menyetubuhi ibunya adalah seorang Islam.
IMPLIKASI DARI SUDUT AMAL KEBAJIKAN
Amal kebajikan anak tak sah taraf samada untuk diri sendiri atau untuk masyarakat (fardhu ain atau fardhu kifayah) adalah sama kaedahnya dengan anak-anak sah taraf yang lain. Seseorang anak tak sah taraf sebenarnya seorang yang suci dan bersih dari sebarang dosa ibu bapanya.
Firman Allah yang bermaksud: ... Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya;...” (Al-An’am: 164)
Firman Allah yang bermaksud: (Oleh itu) katakanlah (wahai Muhammad): "Kamu tidak akan bertanggungjawab tentang kesalahan yang kami lakukan, dan kami pula tidak akan bertanggungjawab tentang apa yang kamu kerjakan". (Saba’: 25)
Amal kebajikan anak tak sah taraf samada untuk diri sendiri atau untuk masyarakat (fardhu ain atau fardhu kifayah) tetap akan mendapat ganjaran disisi Allah sama seperti amal kebajikan orang Islam yang lain. Firman Allah bermaksud: Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (Al-Zalzalah: 7 & 8)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan