Tarikh hari ini:-

Jumaat, 27 Ogos 2010

SELEPAS PERCERAIAN: APAKAH HAK WANITA YANG PERLU DITUNTUT?

Oleh : Ghafani bin Awang Teh
Hak-Hak Isteri Selepas Bercerai

i. Tuntuan Mutaah
ii. Tuntutan Nafkah Eddah
iii. Tuntutan Hadhanah (Hak Jagaan Anak)
-Anak Antara Bapa Dan Ibu
-Bercerai Bersama Anak
-Anak Diluar Nikah
iv. Tuntuan Nafkah Anak
v. Tuntutan Harta Sepencarian
vi. Tunggakan Hutang
-Prosedur Membuat Tuntutan Hutang

Kesimpulan

Pendahuluan

Mengenai hak-hak wanita selepas diceraikan suami, Allah swt telah menyatakan :

"Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan mereka. Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalak) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin, kemudian jika mereka menyusu (anak-anak)mu untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya dan musyawarahkanlah antara kamu (segala sesuatu) dengan baik dan jika kamu menemui kesulitan maka perempuan lain boleh menyusukan (anak itu) untuknya".
( Surah at-Talak : 6 )

Demikian Allah memberi panduan mengenai hak-hak wanita selepas diceraikan suami. Ini bermakna tanggungjawab suami memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak bukan sahaja semasa hidup bersama tetapi juga selepas bercerai dengan isteri.

Hak-Hak Isteri Selepas Bercerai

Seseorang wanita yang diceraikan oleh suaminya boleh membuat beberapa tuntutan atas bekas suaminya di Mahkamah Syariah. Tuntutan-tuntutan itu ialah :


i. Tuntuan Mutaah
Mutaah ialah sejumlah harta di mana suami wajib memberi kepada bekas isterinya yang pernah disetubuhi jika perceraian itu bukan berpunca dari isteri dan bukan kematian suami. Dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat mengenai Mutaah:
" Kepada wanita-wanita yang diceraikan (hendaklah diberikan oleh suaminya) Mutaah menurut yang ma’aruf sebagai suatu kewajiban bagi orang-orang yang bertaqwa".
(Surah Al-Baqarah : 241)
Dalam ayat yang lain pula Allah swt menyatakan:
"Tidaklah kamu bersalah jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu bercampur dengan mereka atau sebelum kamu menetapkan mas kahwin untuk mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi Mutaah (pemberian saguhati) kepada mereka iaitu suami yang senang menurut kemampuannya dan suami yang miskin menurut kemampuannya sebagai pemberian saguhati menurut yang patut lagi menjadi satu kewajiban atas orang-orang yang mahu berbuat kebajikan".
(Surah Al-Baqarah : 236)

Firman Allah swt :
"Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman kemudian kamu ceraikan mereka sebelum menyentuhnya, maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang eddah yang kamu boleh hitungkan masanya. Oleh itu, berilah Mutaah (pemberian saguhati) kepada mereka dan lepaskan mereka dengan cara yang sebaik-baiknya".
(Surah Al-Ahzab : 49)

Mutaah itu boleh sama ada berbentuk pakaian, barang-barang atau wang sesuai dengan keadaan dan kedudukan suami. Islam tidak menetapkan kadar mengenai Mutaah ini. Dasar penetapannya bergantung kepada keredhaan dan persetujuan suami isteri. Walau bagaimanapun, jika kadarnya menjadi pertelingkahan suami isteri, maka Mahkamah Syariah akan memutuskan kadar yang patut berdasarkan kemampuan suami.

Dalam kes Tengku Anum Zaharah lwn Dato Dr. Hussein (1980, Jld.3 J.H.) Peguam bagi pihak menuntut (isteri) telah merujuk kepada kes Hasan bin Ali bin Abi Talib yang mana semasa beliau menjadi khalifah telah menceraikan isterinya dan memberi 10,000 dinar sebagai Mutaah. Peguam iu berhujah pihak yang kena tuntut (suami) seorang yang berkemampuan. Yang Arif Kadi Besar selangor (pada masa itu) telah merujuk surah Al-Ahzab ayat 49 dan memutuskan pihak yang menuntut (isteri) berjaya menuntut Mutaah sebanyak RM25,200 sebagaimana yang dituntutnya.

Apa yang nyata berdasarkan kes ini, walaupun seseorang wanita itu mempunyai pendapatan yang baik, ia tetap menuntut haknya kerana perceraian itu atas kehendak suami.

Dalam Islam pemberian Mutaah ini bertujuan:

Seseorang isteri lazimnya bergantung hidup kepada suami. Oleh itu apabila ada pemberian Mutaah ini, maka bekas isteri bolehlah menggunakannya sebagai modal untk berdikari dan memulakan hidup baru selepas bercerai.
Menghilangkan rasa malu dan prasangka buruk terhadap isteri. Pada kebiasaaannya terdapat anggapan masyarakat bahawa seseorang wanita yang diceraikan kerana ada sesuatu aib pada dirinya. Oleh itu pemberian Mutaah itu bermakna perceraian itu bukan berpunca dari bekas isteri.
Untuk menentukan perceraian itu dibuat secara baik dan sebagai penghargaan suami terhadap isteri atas sumbangan dan peranan yang diberikan oleh isteri.
ii. Tuntutan Nafkah Eddah
Seseorang isteri yang diceraikan oleh suami selepas disetubuhi, wajib bereddah. Hikmah bereddah ialah supaya dalam waktu eddah talak rajie ini, suami dan isteri itu berfikir panjang dan merasa bagaimana pahit getirnya perceraian. Walau bagaimanapun, bagi seseorang isteri yang diceraikan dalam talak rajie berhak mendapat nafkah dengan syarat:
a. Isteri itu diceraikan secara talak rajie (talak yang boleh dirujuk), dalilnya ialah Nabi Muhammad saw bersabda,
"Hanya nafkah dan tempat kediaman untuk perempuan yang boleh dirujuk oleh suaminya".
(Riwayat Ahmad dan An-Nasa’i)
Pendapat ini adalah sepakat mazhab empat.

b. Isteri yang hamil yang ditalak dengan talak bain (tidak boleh dirujuk) berhak juga mendapat nafkah sehingga anak itu lahir. Ini berdasarkan firman Allah swt:
"Kalau mereka itu hamil, maka berilah nafkah keapda mereka hingga mereka melahirkan anaknya".
( Surah At-Talaq: 6)

Fuqaha bersepakat dalam perkara ini di mana perempuan itu berhak mendapat nafkah, pakaian dan tempat tinggal hingga anak itu lahir.
Seseorang isteri yang mengandung sememangnya menghadapi keletihan dan tekanan perasaan memikirkan tentang kesempurnaan bayi kandungannya. Apabila berlaku perceraian kesannya akan menambahkan lagi penderitaan di mana kemungkinan besar memberi kesan kepada kesempurnaan bayi dan menganggu kesihatan si ibu. Oleh itu sebagai langkah untuk mengurangkan tekanan perasaaan dan menjaga kepentingan anak dalam kandungannya maka Islam memutuskan bahawa perempuan hamil walaupun diceraikan secara talak bain berhak juga mendapat nafkah eddah.

c. Perempuan tidak hamil yang diceraikan secara talak bain, tidak berhak mendapat nafkah, pakaian dan tempat kediaman. Ini adalah pendapat Jumhur Fuqaha dengan alasan ketika nabi Muhammada saw mengulas mengenai talak tiga ia menyatakan:
"Tidak ada hak untuknya bagi tempat kediaman dan nafkah".
(Riwayat Ahmad dan Muslim)

Walau bagaimanapun, menurut Hanafi perempuan dalam kes ini berhak mendapat nafkah kerana Allah swt berfirman:
"Berikanlah mereka itu tempat kediaman sebagaimana tempat kediaman kamu dari kekayaaan kamu".
(Surah At-Talak : 6)

Menurut Hanafi kehendak ayat ini adalah umum sama ada perempuan itu dalam eddah talak rajie atau talak bain semuanya mendapat nafkah.

d. Isteri yang dalam eddah kerana kematian suami tidak berhak mendapat nafkah eddah meskipun ia dalam kaeadaan hamil. Mengenai perkara ini Nabi Muhammad saw menjelaskan:
"Tidaklah mendapat nafkah bagi perempuan hamil yang kematian suami".
(Riwayat Darul-Qutni)

Pendapat ini adalah sepakat Fuqaha kerana pada kebiasaaannya seseorang yang diceraikan kerana kematian suami boleh membeuat tuntutan pusaka ke atas harta peninggalan suami dan tanggungjawab suami itu dianggap terhapus.

e. Isteri hendaklah taat dan patuh kepada suami iaitu isteri tidak nusyuz. Menurut kitab Kifayah Al-Akhyar Juz 29 halaman 48 menyatakan:
"Apabila seseorang isteri nusyuz maka gugurlah hak isteri untuk menerima nafkah, pakaian dan giliran".

Dalam kes Syarifah Sapoyah lwn Wan Alwi (1988 Jld. VI-II J.H.) Yang Arif Kadi Besar Sarawak Awang Pon bin Awang Sebon ketika memutuskan kes itu berhubung dengan tuntutan nafkah eddah menyatakan:

"Menurut Hukum Syarak seseorang isteri yang telah diceraikan oleh suaminya berhak mendapat nafkah eddahnya sekiranya seseorang isteri itu diceraikan dengan talak rajie atau dengan talak bain sedangkan si isteri mengandung dan isteri tersebut tidak melakukan perbuatan yang dianggap nusyuz. Dalilnya ialah:
"Dari Fatimah binti Qais bahawa Rasulullah saw menyatakan hanya perempuan yang berhak mengambil nafkah dan rumah kediaman bekas suaminya apabila suami berhak rujuk kepadanya".
(Riwayat Ahmad dan An-Nasa’i)

Menurut kitab Al-Fiqhu ‘Ala Mazahib Al-Arba’ah Juzuk 4 karangan Abdul Rahman Al-Jazini menerangkan :
"Isteri yang ditalak rajie wajib mendapat hak nafkah eddah tidak kira sama ada ia merdeka, hamba, mengandung atau tidak mengandung".

Menurut Kadi Besar Pulau Pinang Hj. Harussani bin Hj. Zakaria (pada masa itu) ketika memutuskan kes Noor Bee lwn Ahmad Shanusi (1978 Jld. 1 J.H.) menyatakan:
"Hak nafkah eddah jika tidak dijelaskan semasa edddah maka ia menjadi hutang ke atas suami yang menceraikan isterinya. Tetapi tempat kediaman jika tidak dituntut semasa dalam eddah maka hak itu terluput", berdasarkan pandangan kitab Kifayah Al-Akhyar Juz 2 halaman 85 ;
"Jika sebahagian atau keseluruhan masa eddah telah berlalu dan isteri (yang diceraikan) tidak menuntut hak tempat tinggal maka gugurlah hak itu dan tidak menjadi hutang ke atas suami yang menceraikan isterinya".

Ini bermakna seseorang isteri yang diceraikan berhak mendiami tempat tinggal dan mendapatkan nafkah dari bekas suaminya dalam tempoh eddah berdasarkan syarat-syarat di atas.


iii. Tuntutan Hadhanah (Hak Jagaan Anak)
Hadhanah bermakna pemeliharaan anak lelaki atau perempuan yang masih kecil yang belum boleh berdikari, menjaga kepentingan anak, melindunginya dari segala yang membahayakan dirinya, mendidik rohani dan jasmani serta akalnya supaya si anak dapat berkembang dan dapat mengatasi persoalan hidup yang akan dihadapinya.
Dalam Islam, hukum memelihara anak adalah satu kewajiban ibu bapa kerana si anak memerlukan asuhan dan kasih sayang ketika dalam proses pertumbuhan hidupnya. Persoalan yang timbul ialah siapa yang berhak memelihara dan menjaga anak jika ibu bapa bercerai-berai?
Menurut sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar,
"Bahawasanya seseorang perempuan telah datang menemui Rasulullah saw dan bertanya: "Ya Rasulullah, bahawa anankku ini, perutkulah kandungannya, susukulah minumannya dan ribaanku rumahnya tetapi bapanya telah menceraikan aku dan hendak merampas anak itu daripada aku". Selepas mendengar aduan itu Rasulullah saw bersabda,"Engkaulah yang lebih berhak menjaga anak itu selagi engkau belum berkahwin lain".
(Riwayat Abu Daud)
Hadith ini menetapkan bahawa ibu adalah lebih berhak terhadap pemeliharaan anak daripada ayah. Berdasarkan kepada kiasan hadith tersebut ternyata orang perempuan lebih diutamakan tentang hak pemeliharaan anak, kemudiannya barulah diikuti oleh orang lelaki. Islam mengutamakan perempuan dalam hal hadhanah ini kerana ibu lebih sayang kepada anaknya, lebih tahu bagaimana mendidiknya dan lebih sabar dalam mengasuh anaknya daripada ayah. Demikian juga mempunyai masa yang luas berdampingan dan bermanja dengan anak-anak berbanding dengan bapa yang selalu sibuk dengan tugas di luar.
Dalam kes Zawiyah lwn Ruslan (1980 Jld. 1, 2 J.H.) Yang Arif Kadi Besar Pulau Pinang Hj. Harussani bin Hj. Zakaria (pada masa itu) ketika memutuskan kes itu menyatakan anak-anak yang belum mumaiyyiz diserah kepada ibunya berdasarkan hujah kitabKifayah Al-Akhyar Juz 2 halaman 93:
"Apabila mencerai seseorang lelaki akan isterinya dan ia mempunyai anak dengan isteri itu maka si isteri berhak memelihara anak itu sehingga anak itu berumur tujuh tahun (mumaiyyiz)".

Hak hadhanah akan terlucut sekiranya si isteri itu mempunyai salah satu syarat sepertimana berikut:
"Dan syarat-syarat hadhanah itu tujuh perkara iaitu berakal, merdeka, beragama, lemah lembut, amanah, tidak bersuami dan bermukim. Sekiranya kurang salah satu syarat itu maka gugurlah hak hadhanah itu".

Ini bermakna anak-anak yang belum mumaiyyiz diserah kepada ibunya. Persoalan yang timbul ialah apakah had umur untuk menentukan mumaiyyiz itu? Sebenarnya Fuqaha berselisih pendapat mengenai had umur mumaiyyiz ini. Walau bagaimanapun menurut kebiasaan, bagi lelaki yang telah mencapai umur 7 tahun dianggap mumaiyyiz manakala perempuan pula apabila berumur 9 tahun. Apabila pemeliharaan anak itu dimulai dari ibu maka para Fuqaha mengambil kesimpulan bahawa kerabat dari ibu lebih berhak mengasuh daripada kerabat bapa. Jika ibu hilang kelayakan hak jagaan anak maka anak itu diserah kepada nenek sebelah ibu hingga ke atas (butir-buti penuh lihat lampiran ‘A’).

Dalam kes Rugayah lwn Bujang (1987 Jld. VI, I J.H.) Yang Arif Kadi Besar Wilayah Persekutuan Syeikh Ghazali bin Hj. Abd. Rahman telah memutuskan hak jagaan anak yang mumaiyyiz adalah diberi pilihan kepada anak-anak itu siapakah yang ia mahu sama ada tinggal dengan ibu atau bapa dengan berdasarkan sebuah hadith:
"Bahawa Rasulullah saw telah menyuruh seorang anak yang sudah mumaiyyiz supaya memilih sama ada ibu atau bapa yang dia suka tinggal".
(Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

"Hendaklah kamu berdua membuang undi tentang anak kamu, maka berkata suami perempuan itu, "Siapakah yang boleh menentang saya berkenaan anak saya (bererti suami itu tidak bersetuju cara membuang undi)". Lalu Rasulullah saw menyuruh anak itu memilih antara ibu atau bapa dengan sabdanya: "Ini bapa engkau dan ini ibu engkau, pilihlah siapa antara kedua-duanya yang engkau suka tinggal bersama". Maka anak itu pun memilih ibunya dengan memegang tangan ibunya itu. Lalu perempuan itu pun membawa anaknya itu pulang bersama".
(Riwayat Abu Daud, An-Nasa’i dan Tirmizi)

Dalam hadith yang lain:
"Seorang perempuan datang menemui Rasulullah saw dan bertanya: "Ya Rasulullah, suamiku hendak membawa anakku, pada hal anakku sudah pandai mencari air untukku ke perigi Abu Inabah". Rasulullah menjawab: "Ini ayahmu dan ini ibumu, peganglah tangan ibumu. Kemudian perempuan itu pergi bersama anaknya".

Ini bermakna anak-anak yang mumaiyyiz diberi pilihan sendiri untuk menentukan siapa penjaganya sama ada ibu atau bapa. Persoalan yang timbul ialah jika anak itu berdiam diri? Menurut kitab Fathul-Muin dalam fasal hadhanah menyatakan anak itu lebih utama diserahkan kepada ibunya.

Berkata Ibnul-Qaiyim: "Sesungguhnya kita menyerahkan anak kepada bapa atau ibunya adalah bertujuan untuk menjaga kemaslahatan anak. Kalau anak tinggal bersama ibunya maka kemaslahatannya lebih terjamin. Maka anak itu diserahkan kepada ibunya meskipun anak itu memilih bapanya kerana memang pilihan anak itu belum tepat acap kali tersalah pilih. Selanjutnya Ibnul-Qaiyim berkata: "Aku dengar gutuku berkata: "Telah berselisih faham dua orang ibu bapa di hadapan hakim tentang siapa yang akan memelihara anaknya. Kemudian hakim menyuruh anak itu supaya memilih antara ibu atau bapanya. Lalu anak itu memilih bapanya. Berkata ibunya kepada hakim:"Cubalah tuan hakim tanya kepada anak itu apa sebabnya anak itu memilih bapanya? Lalu hakim bertanya kepada anak itu. Anak itu menjawab: "Ibuku menghantarku ke tempat mengaji Al-Quran tiap-tiap hari dan guru-guru acap kali memukulku. Manakala bapaku membiarkanku bermain-main bersama kawan-kawan, sebab itu aku suka tinggal dengan bapaku". Mendengar demikian, hakim memutuskan untuk menyerahkan anak itu kepada ibunya dengan menyatakan: "Engkau lebih berhak memelihara anak itu".

Demikian pandangan Ibnu Qaiyim. Menurut Syed Sabiq dalam kitabnya ýFiqh As-Sunnah Juz 8 halaman 219 menyatakan: "Sesungguhnya setiap penjaga dan anak jagaan masing-masing mempunyai hak. Akan tetapi hak anak atau kemaslahatan anak lebih penting dari hak penjaganya".

Berdasarkan maksud Seksyen 84(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, dianggap belum mumaiyyiz bagi kanak-kanak lelaki ialah dari bayi hingga berumur 6 tahun. Manakala kanak-kanak perempuan pula dari bayi hingga berumur 8 tahun. Ini bermakna kanak-kanak lelaki yang telah mencapai umur 7 tahun dan kanak-kanak perempuan yang telah mencapai umur 9 tahun dianggap mumaiyyiz. Walau bagaimanapun dalam Seksyen 84(2) keputusan yang dibuat oleh anak tidak mutlak kerana Mahkamah boleh memerintahkan keputusan yang berlawanan dengan pilihan anak.


Anak Antara Bapa Dan Ibu
Ulama Syafi’iyah berkata: Apabila anak tersebut lelaki dan ia memilih ibunya, anak itu boleh tinggal di tempat ibunya pada malam hari, pada siangnya bapa boleh mengambilnya untuk disekolahkan atau bekerja. Kerana tujuan mengasuh anak adalah untuk kebaikan. Apabila si anak memilih bapanya maka anak tinggal bersama bapanya siang malam tetapi tidak boleh dicegah apabila si anak ingin menjenguk ibunya. Mencegahnya akan menyebabkan si anak derhaka kepada ibunya dan memutuskan hubungan dengan ibunya. Apabila si anak sakit maka ibu lebih berhak untuk merawatnya kerana sakitnya itu menyebabkan si anak seperti anak kecil yang memerlukan layanan, kerana itu si ibu lebih berhak mengasuhnya.
Apabila anak itu perempuan dan ia memilih salah satu antara dua orang tuanya maka ia boleh tinggal di tempat orang tua lain, asalkan tidak terlalu lama. Kerana perceraian antara suami isteri menyebabkan kedua-dua bekas suami isteri itu tidak sesuai untuk berada di satu tempat. Apabila anak perempuan itu sakit maka ibunya lebih berhak merawat di rumahnya. Apabila salah satu orang tuanya sakit sedangkan si anak tidak serumah dengannya maka si anak tidak boleh dicegah untuk menjenguknya atau untuk hadir di tempat orang tuanya yang meninggal dunia.
Bercerai Bersama Anak
Ibnu Qaiyim berkata: "Apabila salah seorang antara orang tuanya berpergian kerana adanya suatu keperluan, tetapi akan kembali dan lainnya tidak berpergian maka orang yang tidak berpergian lebih berhak mengasuhnya kerana berpergian dengan membawa anak kecil terutama yang masih menyusu akan menyusahkan si anak. Apabila salah seorangnya berpindah untuk menetap di tempat lain sedang tempat yang dituju atau perjalanannya mengkhuatirkan maka orang tua yang mukim lebih berhak mengasuhnya. Apabila perjalanannya aman, ada dua pendapat:

Bahawa asuhan anak itu diserahkan kepada bapa agar bapa dapat tetap mendidik anaknya. Pendapat ini adalah juga pendapat Malik dan Syafi’i. Pendapat ini juga dipraktikkan oleh Qadhi Syuraih.
Bahawa ibunya lebih berhak mengasuh anaknya. Pendapat lain mengatakan bahawa apabila yang pergi itu bapanya maka ibu lebih berhak mengasuhnya. Kalau ibunya pergi ke daerah asalnya maka ibu itulah yang lebih berhak mengasuhnya. Apabila si ibu pergi ke tempat lain maka bapanyalah yang lebih berhak mengasuhnya. Demikianlah pendapat Abu Hanifah.
Pada prinsipnya kita meninjau dan meneliti mana yang paling baik untuk si anak dan lebih bermanfaat, apakah dapat memelihara dan dapat menjaga si anak. Anak itu pergi bersama salah seorang antara kedua-dua orang tuanya ataupun tidak ikut, sama sahaja, asalkan tidak menyebabkan putusnya hubungan anak dengan orang tuanya. Apabila ada maksudnya menyusahkan si anak maka si anak tidak boleh diajak pergi.
Anak Diluar Nikah
Kadangkala juga timbul masalah sepasang suami isteri yang pada asalnya mereka bersekedudukan dan melahirkan anak. Selepas itu mereka kahwin. Apabila berlaku perceraian, anak itu menjadi bahan rebutan. Persoalan yang timbul ialah siapakah yang berhak menjaga anak yang tak sah taraf itu? Menurut Seksyen 85 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan menyatakan:
"Penjagaan kanak-kanak tak sah taraf adalah semata-mata pada ibu dan saudara mara ibu".
Ibu itu yang mengandung dan melahirkannya maka ia berhak menjaga dan menafkahkannya. Anak di luar nikah dianggap tidak mempunyai bapa. Oleh itu di luar bidang kuasa lelaki itu untuk membuat tuntutan.

iv. Tuntuan Nafkah Anak
Dalam Islam hak mendapat kehidupan bagi si anak merupakan hak anak yang tidak boleh diganggu dan disekat. Hak hidup itu juga bererti menjadi kewajiban orang tua memelihara dan memberi bekal ilmu kepada anak sehingga anak itu boleh berdikari. Firman Allah swt:
"Kalau mereka itu (bekas isterimu) menyusukan anakmu maka berilah upah mereka".
(Surah At-Talak : 6)
Dalam ayat yang lain Allah swt menerangkan:
"Janganlah seseorang itu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan seorang bapa kerana anaknya dan waris pun berkewajiban demikian".
(Surah Al-Baqarah : 233)

Dari sebuah hadith yang diterangkan oleh Aisyah r.a. bahawa Rasulullah saw bersabda:
"Hindun pernah bertanya: "Ya Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufian (suami Hindun) seorang lelaki yang sangat bakhil. Ia tidak pernah memberi belanja kepadaku yang dapat mencukupi diriku dan anakku kecuali apa yang aku ambil dari hartanya itu, sedangkan ia tidak mengetahuinya". Kemudian Rasulullah saw menjawab: "Ambillah apa yang sekiranya boleh mencukupi dirimu dan anakmu dengan cara yang makruf".
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan dalil-dalil di atas ternyata seseorang bapa wajib memberi nafkah untuk anak-anaknya dengan syarat:

Bahawa anak itu belum boleh berdikari. Bagi anak perempuan sehingga ia berkahwin atau sehinga ia ada pekerjaan.
Bahawa anak itu miskin tidak mempunyai harta sendiri untuk menafkahkannya.
Bapa itu mampu memberi nafkah.
Apabila anak itu telah baligh dan boleh berdikari maka bapa tidak wajib lagi memberi nafkah untuk anak itu. Begitu juga jika anak itu mempunyai harta sendiri meskipun dia masih kecil maka bapa tidak wajib memberi nafkah kepada anaknya. Pendapat itu adalah sepakat Fuqaha.
Kadangkala terdapat sepasang suami isteri mengambil anak angkat. Persoalan yang timbul ialah kedudukan nafkah anak angkat jika ibu bapa angkat itu bercerai. Yang Arif Pemangku Kadi Besar Wilayah Persekutuan Haji Yahya bin Darus (pada masa itu) ketika memutuskan kes Rokiah lwn Mohamed Idris (1986, Jld. VI, 2 J.H.) menyatakan anak angkat tidak berhak mendapat nafkah dengan alasan firman Allah swt:
"Panggillah nama-nama mereka, anak-anak angkat itu dengan panggilan bapa-bapa mereka itu adalah lebih baik di sisi Allah".
(Surah Al-Ahzab : 5)

Dengan bertukar binnya itu bererti tidak tertanggunglah ke atas bapa angkat nafkah itu. Walau bagaimanpun dalam kes Rosnah lwn Ibrahim (1979, Jld. 1, 2 J.H.) Yang Arif Kadi Besar Pulau Pinang Hj. Harussani bin Hj Zakaria (pada masa itu) ketika memutuskan kes itu menyatakan anak angkat berhak mendapat nafkah daripada bapa angkatnya selepas perceraian ibu bapa angkat itu kerana anak angkat itu diambil dengan persetujuan ibu bapa angkat itu. Anak angkat itu diambil ketika berumur satu hari.


v. Tuntutan Harta Sepencarian
Tuntutan harta sepencarian adalah lebih berdasarkan kepada undang-undang adat Melayu. Oleh kerana prinsip harta sepencarian tidak berlawanan dengan kehendak Syariah Islam maka peruntukan harta sepencarian diterima sebagai sebahagaian daripda Undang-Undang Islam di Malaysia.
Dalam Al-Quran ada menyebut:
"Orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan".
(Surah An-Nisaa’ : 32)

Dalam ayat ini dapat kita fahami bahawa hak wanita dalam harta benda itu bergantung dari apa yang diusahakan.
Menurut Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, harta sepencarian ditakrifkan sebagai:
"Harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak’.

Menurut Kadi Besar Pulau Pinang Hj. Harussani bin Hj. Zakaria (pada masa itu) ketika memutuskan kes Piah bt. Said lwn Che Lah bin Awang (1983, Jld. 2 J.H.) harta sepencarian ditakrifkan:
"Harta yang diperolehi bersama-sama suami isteri itu hidup bersama dan berusaha, sama ada keuda-dua pasanagan itu sama-sama bekerja dalam bidanag yang sama atau dalam bidang yang berlainan dan sama ada secara rasmi atau tidak rasmi sama ada dibahagikan tugas atau tidak".

Satu contoh kes di mana sepasang suami isteri memperolehi harta semasa berkahwin kemudian mereka bercerai. Persoalan yang timbul ialah bagaimana prinsip harta itu dibahagikan. Menurut Yang Arif Datok wan Ismail bin Mohammad Salleh ketika memberi keputusan Lembaga Rayuan Wilayah Persekutuan kes Anita binti Abdullah lwqn Zainuddin bin Hj. Ariffin (1982, 4, JH 73) menyatakan:


Jika ada keterangan yang cukup siapa yang mengusahakan harta itu maka hasil itu terpulang kepadanya;
Jika tidak ada keterangan yang cukup di atas usaha masing-masing, mereka dikehendaki bersumpah. Apabila bersumpah semuanya, maka harta itu dibahagikan sama banyak juga. Jika semuanya enggan bersumpah dibahagikan sama banyak juga. Jika salah seorang enggan bersumpah, maka harta itu terpulang semua kepada yang bersumpah. Jika salah seorang atau semuanya telah mati maka hukum bersumpah itu dipertanggungjawabkan ke atas waris si mati sekiranya waris itu menuntut.
Jika berlaku adat kebiasaaan bahawa salah seorang daripada suami isteri itu berusaha lebih dari yang lain, maka persetujuan pembahagian hendaklah mengikut adat kebiasaan itu. Jika persetujuan tidak didapati maka pembahagiannya adalah seperti (a) dan (b) di atas.
Menurut Ahmad Ibrahim ketika memberi keputusan Lembaga Rayuan Wilayah Persekutuan bagi kes Mansjur lwn Kamariah (1988, Jld. VI, 2 J.J.) tentang harta sepencarian menyatakan:
"Apabila timbul pertikaian mengenai kadar pembahagian harta seperncarian, jika tidak terdapat persetujuan, keputusan diserahkan kepada hakim yang menggunakan budibicaranya". Ini bermakna hakim akan membuat keputusan sendiri berdasarkan budi bicaranya".
Persoalan yang timbul ialah bagaimana kedudukan seseorang isteri yang hanya bertugas sebagai suri rumahtangga sepenuh masa, adakah ia berpeluang menuntut harta sepencarian? Dalam kes Boto’ binti Taha lwn Jaafar bin Muhammad (1984, 1 J.H.) telah diputuskan bahawa seorang isteri yang hanya bertugas menolong suami berhak mendapat harta sepencarian. Fakta kesnya adalah seperti berikut:

Pihak menuntut (isteri) telah menuntut harta sepencarian dari bekas suaminya separuh dari harta yang diperolehi semasa dalam perkahwinan. Harta-harta itu termasuk tanah, rumah, perahu, jala ikan dan warung ikan (gerai tempat menjual ikan). Apabila ia (isteri) berkahwin dengan pihak yang kena tuntut (suami) pihak yang menuntut telah meninggalkan kerjayanya sebagai pembantu kedai di sebuah restoren dan bertugas sebagai suri rumah di samping membantu tugas-tugas suami. Yang Arif Hakim Saleh Abas (ketika itu) ketika memutuskan kes itu menyatakan:

"Pihak menuntut (isteri) menemani pihak kena tuntut boleh dikira sebagai usahanya bersama atau sumbangannya memperolehi pendapatan yang mana telah menghasilkan harta itu. Memang betul bahawa pihak menuntut (isteri) tidak mengambil bahagian langsung dalam perniagaan ikan dengan pihak kena tuntut (suami) akan tetapi kesediaannya berdampingan dengan pihak kena tuntut adalah menghasilkan ketenangan fikiran yang membolehkannya berniaga dengan berkesan. Oleh tu adalah kenyataan perkahwinan mereka dan apa yang mereka berbuat semasa perkahwinan yang menjadikan harta itu sebagai harta sepencarian".

Menurut Kadi Besar Pulau Pinang, Yang Arif Hj. Harussani bin Hj. Zakaria (pada masa itu) ketika memutuskan kes Nor Bee lwn Ahmad Shanusi (1978, Jld. 1, 2 J.H.) mengenai harta sepencarian:
"Harta sepencarian diluluskan oleh Syarak atas dasar khidmat dan perkongsian hidup. Isteri mengurus dan mengawal rumahtangga ketika suami keluar mencari nafkah. Isteri menurut Syarak berhak mendapat orang gaji dalam menguruskan rumahtangga. Jika tiada orang gaji maka kerja memasak, membasuh dan mengurus rumah hendaklah dianggap sebagai sebahagian dari kerja yang mengurangkan tanggungan suami".

Ini bermakna seseorang suri rumahtangga berhak menuntut harta sepencarian dari suaminya.


vi. Tunggakan Hutang
Selain daripada itu, seseorang isteri boleh membuat tuntutan hutang ke atas bekas suaminya jika didapati bekas suaminya tidak membayar mas kahwin, tidak memberi saraan hidup ketika dalam tempoh perkahwinan, tunggakan nafkah anak dan sebagainya.
Prosedur Membuat Tuntutan Hutang
Untuk memudahkan mendapat hak-hak tersebut adalah lebih baik menggunakan peguam. Bagi mereka yang tidak mampu menggunakan khidmat peguam, bolehlah membuat permohonan kepada Biro Bantuan Guaman. Semua permohonan itu dibuat kepada Pendaftar Mahkamah Syariah.
Kesimpulan

Sebenarnya cara yang paling baik untuk menyelesaikan hak-hak itu ialah secara perundingan antara suami dan isteri. Penyelesaian secara rundingan ini menjimatkan masa, tidak menyusahkan anak-anak dan dapat menjimatkan wang. Jika tidak ada pilihan lain barulah dibawa ke Mahkamah Syariah.
Apa yang penting ialah hak-hak itu hendaklah dituntut, jika mempunyai alasan yang cukup. Terdapat kes-kes di mana sebaik sahaja berlaku perceraian si isteri menunjukkan sikap ego dan sombongnya terhadap suami. Apabila perceraian berlaku begitu lama barulah menyesal dan mulai bertungkus lumus untuk membuat tuntutan.
Islam adalah agama yang adil dan memberi hak pembelaan yang cukup kepada kaum wanita. Oleh itu tidak timbul soal Islam menindas kaum wanita. Apa yang ada ialah wanita Islam itu sendiri bersikap lemah kerana tidak menggunakan kesempatan yang luas itu untuk kepentngannya.

Lampiran ‘A’

Jika ibu hilang kelayakan maka hak jagaan anak itu berpindah mengikut tertib seperti berikut:

Nenek sebelah ibu hingga ke atas peringkatnya;
Bapa;
Nenek sebelah bapa hingga ke atas peringkatnya;
Kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
Kakak atau adik perempuan seibu;
Kakak atau adik perempuan sebapa;
Anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
Anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu;
Anak perempuan dari kakak atau adik perempuan sebapa;
Ibu saudara sebelah ibu;
Ibu saudara sebelah bapa;
Waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai ‘asabah atau residuari.

KESAHTARAFAN ANAK MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

PENGENALAN

Kesahtarafan anak adalah berkait rapat dengan perkahwinan yang sah serta tempohnya untuk melahirkan seseorang anak. Dalam konteks ini seseorang anak yang dilahirkan perlu dinilai samada ianya Anak Sah Taraf atau Anak Tak Sah Taraf. Ini adalah kerana ia mempunyai kesan berbeza dari sudut keturunan, pergaulan dan hak serta kepentingannya.
PENGERTIAN MENURUT SYARAK

Anak Tak Sah Taraf ialah anak yang dilahirkan dari perhubungan yang tidak sah di sisi Hukum Syarak (Luar Nikah) samada akibat daripada zina atau rogol dan anak tersebut lahir kurang dari enam bulan Hijrah dari tarikh perkahwinan atau seseorang anak yang dilahirkan selepas empat tahun pembubaran perkahwinan disebabkan kematian suami atau perceraian dan ianya tidak berkahwin semula.

Manakala Anak Sah Taraf adalah anak yang lahir melalui perkahwinan yang sah dan kelahirannya setelah enam bulan hijrah atau lebih dari tarikh pernikahan atau dilahirkan dalam tempoh empat tahun selepas perceraian dan ianya tidak berkahwin semula.

IMPLIKASI DARI SUDUT NASAB DAN PENAMAAN

Jika seseorang anak lahir dan ianya tidak sah taraf maka anak tersebut tidak boleh dibinkan kepada bapa zina sebaliknya hendaklah dibinkan atau dibintikan Abdullah atau lain-lain nama “Asma ul-Husna” berpangkalkan Abdul. Seseorang anak tak sah taraf juga tidak boleh dibinkan kepada ibunya kerana bleh menimbulkan kesan psikologi kepada anak tersebut.

IMPLIKASI DARI SUDUT PERGAULAN DAN HUBUNGAN

Dari segi perspektif Islam anak tak sah taraf bebas menjalin apa-apa hubungan atau aktiviti seperti apa yang dilakukan oleh kanak-kanak Islam yang sah tarafnya.

Pergaulan anak tak sah taraf dengan lelaki yang melakukan persetubuhan dengan ibunya hukumnya adalah sama dengan lelaki asing yang tiada kaitan dengannya kecuali jika lelaki tersebut menjadi suami ibunya maka hubungannya adalah seperti ayah tiri.

Perhubungan antara anak tak sah taraf dengan ibunya adalah sama dengan anak sah taraf yang lain. Begitu juga hubungan dengan anak-anak sebelah ibunya yang sah taraf, sama seperti hubungan kekeluargaan yang lain tetapi perhubungan ini tidak boleh diperluaskan kepada keluarga sebelah bapa yang tidak sah kerana keluarga bapa bukan termasuk ahli keluarganya.

IMPLIKASI DARI SUDUT NAFKAH

Nafkah atau saraan hidup anak tak sah taraf adalah menjadi tanggungjawab ibunya bukan bapa yang tak sah. Ini adalah kerana anak tak sah taraf hanya dinisbahkan kepada ibunya serta keluarganya bukan kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya. (Lihat Seksyen 68 Enakmen Keluarga Islam Kedah 1979)

IMPLIKASI DARI SUDUT PENJAGAAN

Penjagaan anak tak sah taraf adalah sama seperti tanggungjawab didalam memberi nafkah iaitu semata-mata kepada ibu dan saudara mara sebelah ibu.

Bapa yang tak sah langsung tiada hak ke atas anak tersebut melainkan melalui perintah undang-undang. (Lihat Seksyen 73 Enakmen Keluarga Islam Kedah 1979)

IMPLIKASI DARI SUDUT HARTA PESAKA

Anak tak sah taraf tidak terputus hubungan kekeluargaan ibunya. Begitu juga ibu tiadk terputus hubungan kekeluargaan dengan anak tersebut. Oleh yang demikian kedua-duanya saling boleh mewarisi pesaka antara satu sama lain.

Sebaliknya seseorang anak tak sah taraf tidak boleh mempesakai harta bapanya yang tak sah. Begitu juga bapa tidak boleh mewarisi harta anak tersebut kerana kedua-duanya telah terputus hubungan kekeluargaan.

IMPLIKASI DARI SUDUT PERKAHWINAN DAN PERWALIAN

Seseorang anak tak sah taraf perempuan boleh berkahwin dengan seseorang lelaki dengan sah tetapi perwalian dipegang oleh wali hakim. Lelaki yang menyetubuhi ibunya tanpa akad nikah yang sah samada dia berkahwin atau tidak dengan ibunya selepas itu tidak sah menjadi walinya.

IMPLIKASI DARI SUDUT KEMATIAN

Jika anak tak sah taraf tersebut meninggal dunia sebelum baligh maka agamanya berpandukan kepada agama ibunya. Jika ibunya Islam maka ianya hendaklah diuruskan secara Islam. Jika ibunya bukan beragama Islam maka anak tak sah taraf tersebut dihukum sebagai bukan Islam sekalipun yang menyetubuhi ibunya adalah seorang Islam.

IMPLIKASI DARI SUDUT AMAL KEBAJIKAN

Amal kebajikan anak tak sah taraf samada untuk diri sendiri atau untuk masyarakat (fardhu ain atau fardhu kifayah) adalah sama kaedahnya dengan anak-anak sah taraf yang lain. Seseorang anak tak sah taraf sebenarnya seorang yang suci dan bersih dari sebarang dosa ibu bapanya.

Firman Allah yang bermaksud: ... Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya;...” (Al-An’am: 164)

Firman Allah yang bermaksud: (Oleh itu) katakanlah (wahai Muhammad): "Kamu tidak akan bertanggungjawab tentang kesalahan yang kami lakukan, dan kami pula tidak akan bertanggungjawab tentang apa yang kamu kerjakan". (Saba’: 25)

Amal kebajikan anak tak sah taraf samada untuk diri sendiri atau untuk masyarakat (fardhu ain atau fardhu kifayah) tetap akan mendapat ganjaran disisi Allah sama seperti amal kebajikan orang Islam yang lain. Firman Allah bermaksud: Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (Al-Zalzalah: 7 & 8)

Khamis, 19 Ogos 2010

NASIHAT KEPADA WANITA YANG DIDERA OLEH SUAMI

Assalamualaikum... buat teman-teman..

Isteri wajib mentaati suami itu adalah ketetapan Allah, selagi mana suami tidak menyuruh isteri melakukan perkara maksiat..

Walaubagaimanapun adakah ketaatan seorang isteri itu tiada batasan? Suami tidak pernah menyuruh isteri buat maksiat tetapi suami tidak menjalankan tanggungjawabnya, menzalimi dan mendera isteri.

Di dalam situasi isteri di dera samaada secara fizikal atau mental.. suami tidak bertanggungjawab, tidak memberi nafkah dan sebagainya maka isteri berhak untuk di bela dan mencari keadilan.

Isteri perlu bijak mencari jalan penyelesaian, bukan hanya memendam perasaan, asyik menyalahkan diri sendiri dan menangis... kerana tindakan tersebut hanya akan membuatkan isteri semakin tertekan dan akhirnya ... masuk wad gila gamaknya..

Kejahilan tentang hak dan tanggungjawab akan membuatkan isteri hilang pedoman justeru itu jika ada masalah tampil kehadapan berusaha bertanya ... pada yang ahlinya agar permasalahan yang timbul dapat diatasi dengan sebaiknya.

Bukan bermaksa bila isteri dipukul isteri hanya berserah dan redha demi kerana untuk mencari keredhaan Allah dan untuk menjaga maruah suami. Sebenarnya itu adalah fahaman yang salah menyimpang dari ajaran Islam yang sebenarnya.

Bangkitlah wahai isteri-isteri yang telah dianiaya, dizalimi dan didera ... dapatkan pembelaan dan perlindungan. Kerana diri anda adalah bernilai dan berharga disisi Allah.

HAK WANITA DALAM PUSAKA MENERUSI AYAT 11, 12 DAN 176 SURAH AL-NISA’1

HAK WANITA DALAM PUSAKA MENERUSI AYAT 11, 12 DAN 176 SURAH AL-NISA’1
Abstrak
Sejarah membuktikan bahawa wanita pada zaman jahiliyah dipandang hina dan dianggap golongan yang membawa sial. Dunia yang ketika itu didominasi oleh lelaki telah menjadikan wanita mangsa diskriminasi. Kedatangan Islam sebagai din al-hanif telah mengangkat kedudukan dan martabat wanita sesuai dengan status mereka sebagai ibu kepada semua lelaki. Islam agama yang syumul telah mengembalikan hak kaum hawa yang telah dirampas buat sekian lama. Syariat Islam memberi hak kepada wanita dalam masalah perkahwinan, perceraian, pemilikan harta, pendidikan, pewarisan harta dan sebagainya. Kertas kerja ini membincangkan tentang salah satu hak yang diberikan kepada wanita iaitu hak pewarisan harta sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah menerusi ayat 11, 12 dan ayat 176 surah al-Nisa’. Keadaan pusaka wanita yang berbeza-beza berdasarkan perbezaan kedudukan mereka sebagai anak, ibu, isteri, kakak atau adik perlu diperbahaskan agar tidak timbul prasangka buruk terhadap apa yang telah ditetapkan oleh Allah.
1. PENDAHULUAN
Ilmu faraidh atau ilmu pusaka merupakan cabang ilmu yang tidak kurang penting dalam Islam. al-Quran al-karim sebagi pegangan asas individu Islam, menerusi beberapa ayatnya telah menjelaskan hukum-hukum waris dan keadaan setiap pewaris dengan begitu terperinci. Allah S.W.T tidak membiarkan hambaNya menguruskan sendiri harta peninggalan si mati, sebaliknya ditetapkan bahagian pusaka kerana Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana akan keadaan hambaNya. Syariat Islam juga telah memberi hak kepada wanita dalam pusaka. Allah S.W.T berfirman :
ِلاجرلِّل بِيصن امم كرت ِنادِلاوْلا َنوبرْقَلأاو ءاسنلِلو بيِصن امم كرت ِنادِلاوْلا َنوبرْقَلأاو امِم َّلَق هنِم رُثَكوَأ ابيِصن اضورْفم
Maksudnya: “orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah)”
Ayat ini menegaskan bahawa wanita juga mempunyai hak dalam mewarisi harta peninggalan ibubapa ataupun kaum kerabat mereka. Kadar atau bahagian pusaka wanita yang berbeza-beza dalam keluarga sama ada sebagai ibu atau adik atau kakak atau anak mahupun isteri diperjelaskan melalui al-Quran al-Karim. Di antara ayat yang memfokuskan kadar bahagian atau hak para pewaris ialah ayat 11, 12 dab 176 surah al-Nisa’. Kertas kerja ini mengupas tentang hak wanita dalam pusaka berdasarkan ayat 11, 12 dan 176 dari surah al-Nisa’ ini.
1 Kertas kerja ini dibentang dalam Seminar Wanita Dan Undang-undang anjuran UiTM, Johor pada 9 september 2006 bertempat di Renaissance Hotel, Melaka.
1
2. PENGERTIAN PUSAKA
Ilmu pusaka di dalam bahasa Arab dikenali dengan nama “ilmu faraidh”atau ‘ilmu mirath”. Al-mirath menurut bahasa bermaksud perpindahan sesuatu dari seseorang individu kepada seorang yang lain atau dari satu kaum kepada kaum yang lain. Perpindahan ini meliputi harta atau ilmu atau kebesaran ataupun kemuliaan (H.Zaid Husein. t.th. 26). Ini dibuktikan oleh sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud “ Para ulama adalah pewaris nabi dan sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dirham mahupun dinar, tetapi mereka mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambilnya sesungguhnya dia telah mengambil bahagian yang banyak”.
Manakala maksud faraid atau mirath dari sudut istilah ialah ilmu yang menentukan tiap-tiap hak dari pusaka. Ia merupakan satu bentuk perkiraan yang telah di tetapkan oleh syarak mengenai pembahagian harta peninggalan si mati kepada waris-waris yang layak menerimanya ( Zainal Abidin.1993.1).
Sementara pusaka menurut Kamus Dewan ialah segala harta benda yang ditinggalkan oleh orang yang telah meninggal (kamus dewan. 2002.1074)
3. RUKUN DAN SYARAT PUSAKA
Rukun pusaka terbahagi kepada tiga iaitu ( Barraj.1999.159) :
a). Si mati iaitu orang yang meninggalkan pusaka
b). Waris iaitu individu yang menerima pusaka
c). Harta iaitu harta atau barang atau nilai yang dipusakakan.
Manakala syarat pusaka adalah seperti berikut (al-Sabuniyy .1993. 40) :
a). Diyakini kematian orang yang meninggalkan pusaka dengan sebenarnya atau secara hukum.
b). Diyakini bahawa pewaris masih hidup selepas matinya si mati walaupun beberapa minit sahaja.
c.) Mengetahui tentang keadaan ahli waris yang menerima pusaka denga jelas.
4. SEBAB MENDAPAT PUSAKA
Syariat Islam menetapkan tiga2 sebab yang membolehkan seseorang individu mendapat pusaka. Sebab-sebab ini adalah seperti berikut (al-Syalabiyy .1978. 62-65) :
a). Melalui perkahwinan yang sah dan akad ini berterusan sehingga ke hari kematian suami atau isteri.
Ikatan perkahwinan yang sah melayakkan isteri mewarisi harta suami sama ada telah berlaku persetubuhan atau sebaliknya.
Seorang isteri yang berada dalam tempoh iddah talak rajciyy atau talak bain juga layak mewarisi harta suaminya. Begitu juga halnya dengan isteri yang
2 Ulama fekah bersepakat menjadikan ketiga-tiga syarat ini sebagai sebab menerima pusaka. Terdapat beberapa sebab lain yang tidak disepakati antaranya ialah melalui sebab Islam iaitu jika seorang Islam itu tinggal di negeri yang tidak mengamalkan Islam, maka dia boleh menerima harta saudanya itu (Barraj. 1999.195). 2
ditalak oleh suaminya yang sedang sakit tenat (maradh al-maut) dengan talak bain – tetapi bukan atas kehendak isteri - juga layak menerima pusaka peninggalan suaminya.
b). Melalui sebab keturunan atau kerabat. Termasuk dalam kerabat si mati ialah usul si mati iaitu bapa, datuk dan ke atas, furuc si mati iaitu anak, cucu, cicit dan ke bawah dan juga furuc usul si mati iaitu adik beradik, bapa dan ibu saudara. Kerabat atau keturunan ini meliputilelaki dan perempuan.
c). Melalui wala’ iaitu tuan kepada hamba yang telah dibebaskan apabila hamba tersebut meninggal dan dia tidak meningglkan waris, maka tuan lamanya berhak menerima harta peninggalannya3.
4. HAK WANITA DALAM PUSAKA
Kedudukan wanita yang dipandang hina pada zaman jahiliyyah telah berubah dengan kedatangan Islam. Islam telah memartabatkan kedudukan kaum hawa sehinggakan salah satu surah di dalam al-Quran dinamakan dengan al-Nisa’ yang bermaksud wanita. Wanita pada zaman jahiliyyah tidak memiliki hak dalam mewarisi harta peninggalan suami mahupun keluarga. Tetapi Islam sebagai din al-hanif telah memberikan mereka hak dalam penerimaan harta pusaka. Syariat Islam telah membariskan senarai waris wanita yang layak menerima harta peninggalan si mati. Mereka ialah anak perempuan, cucu perempuan dari anak lelaki, ibu, nenek sebelah ibu, nenek sebelah bapa, adik-beradik perempuan seibu sebapa, adik-beradik perempuan sebapa, adik-beradik perempuan seibu, isteri dan puan bagi hamba4.
4.1 HAK WANITA DALAM PUSAKA SEBAGAIMANA YANG DIJELASKAN DALAM AYAT 11 SURAH AL-NISA’
Ayat 11 surah al-Nisa' dimulai dengan firman Allah yang berbunyi هّللا مُكيِصوي" مُكِدَلاوَأ" يِف. Ertinya:"Allah mensyariatkan bagimu tentang (pembahagian pusaka untuk) anak-anakmu". Terkandung di dalam ayat ini pembahagian kadar pusaka kepada anak-anak sama ada perempuan mahupun lelaki. Daripada ayat ini dapat dikeluarkan beberapa keadaan pusaka yang diterima oleh wanita. Keadaan-keadaan ini adalah seperti berikut :
1. Perempuan mendapat bahagian separuh daripada apa yang diterima oleh anak lelaki. Ini dapat difahami daripada firman Allah yang berbunyi : ح لثم ركذلل ظينيثنلأا.Maksudnya : "seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan".
Ada beberapa hikmah di sebalik penetapan ini (Hassan Abbas & Fadil Abbas.1991.322). Antaranya ialah :
3 Perkara ini mungkin sudah tidak berlaku lagi pada masa kini
4 Kertas kerja ini memfokuskan kadar atau bahagian wanita dalam pusaka sebaigaimana disebut dalam ayat 11, 12 dan 176 surah al-Nisa’ sahaja. Manakala bahagaian yang tidak disebut seperti kadar pusaka bagi cucu perempuan dan nenek tidak dibincangkan di dalam kertas ini kerana skop perbincangan adalah berdasarkan ayat-ayat tersebut sahaja.
3
a). Orang lelaki wajib membayar maskahwin (mahar) kepada wanita dan mereka diwajibkan menyediakan tempat tinggal,makanan dan pakaian kepada isteri dan anak-anak.
b). Lelaki lebih memerlukan kewangan yang banyak untuk menampung kehidupan seharian seperti memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak, serta menampung kos rawatan dan pembelajaran ahli keluarga.
c). Perempuan tidak perlu mengeluarkan nafkah atau menanggung seseorang. Sebaliknya perempuan ditanggung oleh bapa atau walinya sekiranya belum berkahwin dan perbelanjaan selepas berkahwin merupakan tanggungjawab suami.
Perkara di atas jelas menunjukkan keadilan syariat Islam. Allah yang bersifat maha pengasih dan penyayang tidak sekali-sekali menzalimi hambanya. Syariat Islam datang dengan keadilan dan tidak mendiskriminasi mana-mana pihak. Walaupun jika dilihat secara kasar wanita mendapat bahagian yang sedikit berbanding lelaki tetapi sebenarnya pusaka yang mereka perolehi adalah milik mereka semata-mata dan ia tidak perlu dikongsi dengan pihak lain. Sebaliknya lelaki dibebani dengan tanggungjawab kewangan yang banyak terutama selepas mendirikan rumahtangga. Justeru wajarlah mereka mendapat bahagian pusaka yang lebih berbanding wanita.
2. Penentuan kadar pusaka yang layak diterima oleh anak perempuan yang lebih daripada dua. Perkara ini disebut menerusi ayat yang berbunyi:
نِإَف نُك ءاسِن قوَف ِنيتنْثا نهَلَف اَثُلُث ام كرت نِإو تناَك ًةدِحاو اهَلَف فصنلا
Maksudnya : "dan jika anak itu semuanya perempuan lebih dari dua, maka bagi mereka dua pertiga dari harta yang ditinggalkan, jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka dia memperoleh separuh harta".
Ayat ini menegaskan tentang hak anak perempuan5 dalam pusaka. Terdapat tiga kadar pusaka yang telah digariskan oleh Islam bagi anak perempuan iaitu satu perdua, dua pertiga dan mewarisi harta pusaka dengan cara tacsib.
Anak perempuan akan mendapat satu perdua daripada harta peninggalan bapa atau ibunya dengan beberapa syarat iaitu :
i. tidak ada anak lelaki atau casabah.
ii. hanya dia seorang sahaja dan tidak memiliki adik-beradik perempuan.
Manakala dua orang anak perempuan atau lebih akan mendapat dua pertiga daripada bahagian pusaka. Anak perempuan akan mewarisi harta pusaka dengan cara tacsib sekiranya dia memiliki adik beradik lelaki, di mana adik beradik lelaki akan mendapat dua bahagian manakala perempuan mendapat satu bahagian.
Selain daripada kadar pusaka yang diperolehi oleh anak perempuan, difahami daripada ayat ini juga kadar pusaka yang diperolehi oleh cucu perempuan. Ini kerana
5 Yang dimaksudkan dengan anak perempuan ialah anak perempuan seibu sebapa atau anak perempuan sebapa sahaja.(Barraj.1999. 339) 4
cucu akan mengambil tempat anak perempuan sekiranya anak perempuan si mati telah tiada.
Kadar bahagian pusaka cucu perempuan adalah sama dengan kadar bahagian pusaka anak perempuan iaitu sama ada satu perdua atau dua pertiga atau pewariasan menerusi tacsib.
Contoh pewarisan anak perempuan
a). Seorang lelaki meninggal dunia dan meninggalkan seorang anak perempuan, seorang isteri, bapa dengan meninggalkan wang berjumlah $480.
Anak perempuan Isteri Bapa
1/2 1/8 1/6 + Baki (5/24)
Cara pengiraan : 1/2 + 1/8 + 1/6 = 12+3+ 4 = 19/24
24
$480 bahagi 24= $20 bagi setiap satu bahagian. Oleh sebab itu anak perempuan mendapat $240, isteri mendapat $60 dan bapa $180.
b). Seorang perempuan meninggal dunia dan meninggalkan suami, seorang anak lelaki, seorang anak perempuan, seorang adik lelaki kandung dan seorang ibu saudara sebelah ibu dengan meninggalkan wang berjumlah $800.
Suami Anak perempuan Anak Lelaki Adik lelaki Ibu saudara
1/4 Baki dengan Baki dengan Terhalang Terhalang cara tacsib cara tacsib dengan anak dengan anak
lelaki lelaki
Cara pengiraan : $800 bahagi 4 = $200 bahagian untuk suami. Baki duit sebanyak $600 bahagi 3 = $200. Oleh itu anak perempuan mendapat $200 manakala anak lelaki mendapat $400.
c). Ahmad meninggal dunia dan meninggalkan seorang isteri, empat orang anak perempuan , seorang adik perempuan kandung dan bapa dengan meningglkan wang berejumlah $4800.
Isteri 4 orang anak perempuan Adik perempuan Bapa
1/8 2/3 Terhalang dengan 1/6 + Baki (1/24) bapa
Cara pengiraan : 1/8+2/3+1/6 = 3+16+4 = 23/24
24
$4800 bahagi 24 = $200 bagi setiap satu bahagian. Oleh itu isteri mandapat $600, $3200 untuk 4 orang anak perempuan ($800 setiap seorang) dan bapa mendapat sebanyak $1000.
3. Kadar bahagian pusaka yang layak diambil oleh Ibu menerusi firman Allah:
هيوبَلأو ِّلُكِل ٍدِحاو امهنم سدسلا امِم كرت نِإ َناَك هَل دَلو نِإَف مَّل نُكي هَّل دَلو هَثِروو هاوبَأ ِهمُلأَف ُثُلُّثلا نِإَف َناَك هَل ٌةوخِإ ِهمُلأَف سدسلا 5
Maksudnya : "dan untuk kedua-dua orang ibubapa, bagi masing-masing satu perenam dari harta yang ditinggalkan, jika orang yang meninggal mempunyai anak ;jika orang yang meninggal tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibubanya (sahaja), maka ibunya mendapat sepertiga; jika orang yang meninggal itu mempunyai beberapa saudara, maka ibunya mendapat seperenam".
Ayat di atas menjelaskan bahawa kadar pusaka ibu terbahagi kepada dua iaitu 1/6 atau 1/3. Ibu akan mendapat 1/3 daripada harta pusaka dengan dua syarat. Pertama si mati tidak mempunyai anak atau cucu sama ada perempuan atau lelaki atau ke bawah. Kedua, si mati tidak mempunyai dua orang atau lebih adik beradik lelaki atau perempuan seibu sebapa atau sebapa atau seibu.
Manakala kadar 1/6 akan diterima oleh ibu si mati dalam dua keadan:
i). sekiranya si mati mempunyai anak atau cucu sama ada perempuan atau lelaki
ii) jika si mati mempunyai dua orang atau lebih adik beradik lelaki atau perempuan seibu sebapa atau sebapa atau seibu.
Contoh pewarisan ibu
a). Aminah telah meninggal dunia dan meninggalkan ibu, bapa, kakak seibu sebapa dan abang seibu dengan meningglkan wang sejumlah $3000.
Bapa ibu Kakak seibu sebapa abang sebapa
Baki dengan (5/6) 1/6 terhalang terhalang dengan
cara tacsib dengan bapa bapa
Cara pengiraan : $3000 bahagi 6 = $500 untuk setiap bahagian pusaka. Dalam keadaan ini ibu mendapat 1/6 kerana si mati memiliki adik-beradik seramai dua orang. Oleh sebab itu ibu mandapat $500 daripada wang peninggalan si mati. Manakala bapa mendapat baki peninggalan iaitu sebanyak $2500.
b). Ali telah meninggal dunia dan meningglakan bapa, ibu dan adik lelaki seibu sebapa dengan meninggalkan wang sejumlah $2100.
Bapa Ibu adik lelaki seibu sebapa
Baki dengan (2/3) 1/3 terhalang dengan bapa
Cara tacsib
Cara pengiraan : $2100 bahagi 3 = $700. Dalam keadaan ini ibu mendapat 1/3 kerana si mati tidak mempunyai anak dan hanya mempunyai seorang adik lelaki sahaja. Oleh itu ibu mendapat $700 manakala bapa mendapat baki wang iaitu $1400.
4.2 HAK WANITA DALAM PUSAKA SEBAGAIMANA YANG DIJELASKAN DALAM AYAT 12 SURAH AL-NISA’
Di dalam ayat 12 surah al-Nisa' terdapat dua hukum yang berkaitan dengan hak wanita dalam pusaka. Pertama hak isteri terhadap harta peninggalan suami dan kedua hak adik-beradik perempuan seibu ke atas pusaka si mati.
6
Kadar pusaka isteri dapat ditentukan menerusi ayat :
نهَلو عبرلا امِم متْكرت نِإ مَّل نُكي مُكَّل دَلو نِإَف َناَك مُكَل دَلو نهَلَف نمُّثلا امِم متْكرت نم ِدعب ٍةيِصو َنوصوت اهِب وَأ ٍنيد
Ertinya :"para isteri memperolehi seperempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak. Jika kamu mempunyai anak, maka para isteri memperoleh seperlapan dari harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat atau (dan) sesudah dibayar hutang-hutangmu"
Ayat di atas menjelaskan bahawa isteri mendapat 1/4 daripada harta peninggalan suami sekiranya suami tidak memiliki anak. Jumhur ulama bersepakat mengatakakan bahawa anak di dalam ayat tersebut bermaksud furuc waris6 iaitu anak atau anak kepada anak lelaki dan ke bawah, sama ada furuc waris berasal daripada isteri tersebut atau isteri yang lain (Zaidan.1994.267). Sekiranya suami mempunyai furuc waris, maka isteri hanya layak mendapat 1/8.
Contoh Pewarisan Isteri
a). Omar meninggal dunia dan meninggalkan seorang isteri, ibu dan adik lelaki kandung dengan meninggalkan wang berjumlah $1200.
Isteri Ibu Adik lelaki kandung
1/4 1/3 baki (5/12)
Cara pengiraan : 1/4 + 1/3 = 3+4 = 7/12
12
$1200 bahagi 12 = $100 bagi setiap saham. Oleh itu isteri mandapat $300, ibu mendapat $400 dan adik lelaki kandung mendapat $500.
b). Seorang lelaki meninggal dunia dan meninggalkan 3 orang anak perempuan, dua orang isteri, ibu dan bapa serta meninggalkan wang berjumlah $540.
3 anak perempuan 2 isteri ibu bapa
2/3 1/8 1/6 1/6+ baki
Cara pengiraan : 2/3 + 1/8 + 1/6 + 1/6 = 16+3+4+4 = 27/24 (masalah cailah)
24
$540 bahagi 27 = $20 bagi setiap satu bahagian. Oleh itu 3 orang anak perempuan mendapat $320 ($106.66 bagi setiap seorang), 2 orang isteri mendapat $60 ($30 setiap seorang), ibu dan bapa masing-,masing mendapat $80.
Selain daripada kadar pusaka yang diterima oleh isteri, terkandung juga dalam ayat 12 surah al-Nisa’ pembahagian kadar pusaka bagi adik-baradik perempuan seibu bagi si mati. Ini ditegaskan melalui ayat yang berbunyi :
6Tidak termasuk dalam furuc waris anak kepada anak perempuan dan ke bawah kerana mereka dinasabkan kepada keluarga bapa mereka dan bukannya si mati (al-Shalabiyy.1978.130)
7
نِإو ناَك ٌلجر ُثروي ًةَلَلاَك وَأ ٌةَأرما هَلو خَأ وَأ تخُأ لُكِلَف ٍدِحاو امهنم سدسلا نِإَف ْاوناَك رَثْكَأ نِم كِلَذ مهَف ءاَكرش يِف ِثُلُّثلا نِم ِدعب ٍةيِصو ىصوي آهِب وَأ ٍنيد ريَغ رآضم ًةيِصو نم اِهّلل هّللاو ميِلع ميِلح
Maksudnya : " Jika seseorang mati, baik lelaki mahupun perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara lelaki (seibu sahaja) atau seorang saudara perempuan (seibu sahaja), maka bagi masing-masing dari kedua jenis saudara itu seperenam harta. Tetapi jika saudara-saudara seibu itu lebih dari seorang, maka mereka bersekutu dalam yang sepertiga itu, sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat olehnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudharat (kepada ahli waris7)"
Ulama sependapat mengenai makna "Kalakah" di dalam ayat di atas iaitu seseorang meninggal dunia tanpa meninggalkan ayah (asl) mahupun anak (furc)(Ibn Kathir.1994.610) Ulama juga bersepakat menngatakan bahawa "akh" dan "ukht" di dalam ayat ini ialah adik beradik lelaki dan perempuan sebelah ibu sahaja kerana adik beradik seibu sebapa atau sebapa menerima pusaka dengan cara tacsib (al-Qurtubiyy. 1995.68).
Perlu ditegaskan disini, adik beradik seibu tidak layak mendapat pusaka si mati sekiranya si mati memiliki ayah (asl) mahupun anak (furc). Mereka juga tidak layak mendapat pusaka sekiranya terdapat mawanic al-irth (penghalang daripada mendapat pusaka) seperti mereka kafir atau membubuh (Barraj. 1999.357).
Kadar yang diperolehi oleh adik beradik lelaki mahupun perempuan seibu ialah 1/6 atau 1/3. Apabila si mati meninggalkan seorang adik beradik lelaki seibu atau seorang adik beradik perempuan seibu maka masing-masing mendapat 1/6. Dan apabila si mati meninggalkan sekurang-kurangnya dua orang adik beradik seibu lelaki mahupun perempuan, maka mereka mendapat 1/3 daripada harta si mati yang dibahagi sama rata.
Contoh Pewarisan adik beradik seibu
a). Lina meninggal dunia dan meninggalkan suami, ibu, kakak kandung dan kakak seibu serta meninggalkan wang berjumlah $840.
Suami Ibu Kakak kandung Kakak seibu
1/2 1/6 1/2 1/6
Cara pengiraan : 1/2 + 1/6 + 1/2 + 1/6 = 3+1+3+1 = 8/6
6
$840 bahagi 6 = $105 bagi setiap satu bahagian. Oleh itu suamimendapat $315, ibu menpdapat $105, kakak kandung mendapat $315 dan kakak seibu mendapat $315.
b). Kadijah meninggal dunia dan meninggalkan suami, adik perempuan kandung dan empat orang adik beradik seibu dengan meninggalkan wang berjumlah $5600.
7 memudharatkan waris dengan tindakan seperti mewasiatkan lebih daripada sepertiga harta pusaka atau berwasiat bertujuan untuk mengurangi harta warisan.
8
Suami adik perempuan kandung 4 adik beradik seibu
1/2 1/2 1/3
Cara pengiraan : 1/2 + 1/2 + 1/3 = 3+3+2 = 8/6
6
$5600 bahagi 6 = $700 bagi setiap bahagian.Oleh itu suami mendapat $2100, adik perempuan kandung juga mendapat $2100 dan 4 orang adik beradik seibu mendapat $1400 ($350 setiap seorang)
4.3 HAK WANITA DALAM PUSAKA SEBAGAIMANA YANG DIJELASKAN DALAM AYAT 176 SURAH AL-NISA’
Ayat 176 berbunyi :
كنوتْفتسي ِلُق هّللا مُكيِتْفي يِف ِةَلَلاَكْلا ِنِإ ؤرما كَله سيَل هَل دَلو هَلو تخُأ اهَلَف فصِن ام كرت وهو نِإآهُثِري مَّل نُكي اهَّل دَلو نِإَف اتناَك ِنيتنْثا امهَلَف ِناَثُلُّثلا امِم كرت نِإو ناَكْاو ًةوخِإ ًلااجر ءاسِنو َ ِرَكَّذلِل ُلْثِم ِّظح نييَثنُلأا نيبي هّللا مُكَل نَأ ْاوُّلِضت هّللاو ِّلُكِب ٍءيش لعمي ٌ
Maksudnya : "mereka meminta fatwa kepadamu (tentang kalalah). Katakanlah:"Allah memberi fatwa kepadamu tentang kalakah (iaitu):jika seorang meninggal dunia, dan ia tidak mempunyai anak dan mempunyai saudara perempuan, maka bagi saudara perempuan itu seperdua dari harta yang ditinggalkan, dan saudaranya yang lelaki mempusakai (seluruh harta saudara perempuan), jika ia tidak mempunyai anak; tetapi ika saudaraperempuan itu dua orang, maka bagi keduanya dua pertiga dari harta yang ditinggalkan. Dan jika mereka (ahli waris terdiri dari) saudara-saudara lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang saudara lelaki sebanyak bahagian dua orang saudara perempuan. Allah menerangkan (hukum ini) kepadamu, supaya kamu tidak sesat. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu".
Ayat di atas membicarakan tentang pewarisan "kalalah" iaitu bahagian yang diperolehi oleh adik beradik seibu sebapa atau adik beradik sebapa apabila si mati tidak meninggalkan ayah (asl) mahupun anak (furc). Perbezaan antara pewarisan "kalalah" dalam ayat ini dan ayat 12 ialah ayat 12 membicarakan tentang kadar pusaka yang diterima oleh adik beradik seibu manakala ayat 176 ini membicarakan tentang kadar yang diperoleh oleh adik beradik seibu sebapa atau sebapa.
Daripada ayat di atas difahami bahawa kadar pusaka adik beradik perempuan seibu sebapa adalah seperti berikut (Barraj 1999.364) :
i) mendapat separuh dengan syarat :
- hanya dia seorang yang mewarisi pusaka si mati
- tidak ada 'asabah bersamanya
- tidak ada orang yang menghalangnya daripada mendapat pusaka
ii) mendapat dua pertiga sekiranya mereka dua orang atau lebih dengan syarat tidak ada 'asabah bersamanya dan tidak ada orang yang menghalangnya daripada mendapat pusaka
iii) al-tacsib bi al-ghair sekiranya perempuan tersebut mendapat pusaka dengan cara 'asabah bersama adik beradik lelaki kandung, maka mereka mendapat 9
semua harta peninggalan dengan mengambil kira bahawa lelaki mendapat dua bahagian dan perempuan mendapat satu bahagian.
iv) al-tacsib maca al-ghair sekiranya adik beradik perempuan kandung si mati tidak mendapat pusaka dengan cara 'asabah bersama adik beradik lelaki kandung si mati dan si mati mempunyai furc waris perempuan seperti anak perempuan, cucu perempuan kepada anak lelaki atau kedua-duanya sekali sama ada seorang mahupun ramai, maka adik beradik perempuan seibu sebapa mendapat baki daripada harta yang diambil oleh furc waris perempuan.
v) Adik beradik perempuan seibu sebapa terhalang daripada mendapat pusaka dengan wujudnya furc waris lelaki walaupun ada barsamanya 'asabah. Begitu juga mereka terhalang dengan adanya bapa si mati dan datuk8.
Manakala kadar pusaka adik beradik perempuan sebapa adalah seperti berikut (Zaidan.1994.307) :
i) mendapat separuh dengan syarat :
- hanya dia seorang sahaja yang mewarisi harta peninggalan si mati
- tidak ada adik beradik lelaki sebapa yang menjadi 'asabah bersamanya
- tidak ada furc waris perempuan yang menjadi 'asabah bersamanya
- si mati tidak memiliki adik beradik perempuan seibu sebapa
- tidak ada sesiapa yang menghalangnya daripada menerima harta pusaka si mati.
ii) mendapat dua pertiga sekiranya bilangan adik beradik perempuan sebapa melebihi dua orang dan si mati tidak memiliki adik beradik perempuan kandung serta tidak terdapat adik lelaki sebapa yang menjadi 'asabah bersamanya dan tidak terhalang dengan wujudnya bapa.
ii) mendapat satu perenam berkongsi dengan adik beradik perempuan seibu ebapa sama ada dia seorang atau ramai yang mewarisi harta si mati. Keadaan ini berlaku sekiranya tiada 'asabah.
iv) tacsib dengan adik beradik lelaki sebapa sama ada seorang atau lebih dan sama ada perempuan tersebut seorang atau lebih, maka mereka mendapat pusaka sepenuhnya sekiranya si mati tidak meninggalkan waris lain atau mereka mendapat baki setelah waris si mati mengambil bahagian masing-masing. Harta yang diambil oleh adik beradik perempuan dan lelaki sebapa ini dibahagi dengan kadar dua nisbah satu.
v) tacsib bersama anak perempuan atau cucu perempuan si mati dan ke bawah,maka adik beradik perempuan sebapa mendapat baki harta yang telah diambil oleh anak perempuan dan cucu perempuan si mati.
vi) tidak layak mendapat pusaka kerana dihalang oleh dua orang adik beradik perempuan seibu sebapa si mati atau dihalang oleh bapa, datuk9 dan anak lelaki si mati. Adik beradik perempuan sebapa bagi si mati juga terhalang dengan adanya adik beradik perempuan dan lelaki seibu sebapa si mati.
8 Sebahagian ulama mengatakan datuk tidak menghalang adik beradik perempuan daripada mendapat pusaka.
9 Sebahagian ulama mengatakan datuk tidak menghalang adik beradik perempuan daripada mendapat pusaka.
10
Contoh pewarisan adik beradik perempuan seibu sabapa dan adik beradik perempuan sebapa
a) Seorang perempuan meninggal dunia dan meninggalkan suami dan seorang adik perempuan kandung serta meninggalkan wang berjumlah $490.
Suami adik perempuan kandung
1/2 1/2
Cara pengiraan : $490 bahagi 2 = $245 nilai bagi setiap satu bahagian. Oleh itu Suami dan adik perempuan kandung si mati masing-masing mendapat $245.
b) Seorang perempuan meninggal dunia dan meninggalkan suami, ibu. dua orang kakak seibu, adik perempuan kandung dan kakak sebapa dan meninggalkan wang berjumlah $620.
Suami ibu 2 kakak seibu adik perempuan kandung kakak sebapa
1/2 1/6 1/3 1/2 1/6
Cara pengiraan : 1/2 + 1/6 + 1/3 + 1/2 + 1/6 = 3+1+2+3+1 = 10/6 (Masalah cailah)
6
$620 bahagi 10 = $62 nilai bagi setiap bahagian. Oleh itu suami mendapat $186, ibu mendapat $62, 2 orang kakak seibu mendapat $124 ( setiap seorang mendapat $62), adik perempuan kandung mendapat $186 dan kakak sebapa mendapat $62.
c) Seorang lelaki meninggal dunia dan meninggalkan seorang isteri, seorang anak perempuan, seorang anak lelaki, dua orang kakak sebapa dan ibu serta meninggalkan wang berjumlah $1248.
Isteri anak perempuan anak lelaki 2 kakak sebapa ibu
1/8 mengambil baki dgn mengambil baki dgn Terhalang dengan 1/6
cara tacsib 17/24 cara tacsib (17/24) anak lelaki
Cara pengiraan : 1/8 + 1/6 = 3 +4 = 7/24
24
$1248 bahagi 24 = $52 nilai setiap satu bahagian. Oleh itu isteri mendapat $156, ibu mendapat $208 dan anak perempuan dan lelaki mendapat $884 (anak perempuan mendapat $294.6 dan anak lelaki mendapat $589.3).
4.4 KEADAAN DI MANA WANITA MENDAPAT SAMA ATAU LEBIH BAHAGIAN PUSAKA BERBANDING LELEKI
Dalam sesetengah keadaan, wanita boleh mendapat harta peninggalan si mati lebih daripada apa yang telah ditetapkan oleh syarak. Berikut adalah keadaan yang membolehkan wanita mendapat harta peninggalan lebih berbanding lelaki :
1. Kedua ibubapa akan mendapat 1/6 sekiranya si mati mempunyai anak. Adik beradik seibu mendapat bahagian yang sama tidak kira lelaki atau perempuan.
2. Melalui hibah. Menurut Kamus Dewan hibah bermaksud pemberian hak (harta) secara sukarela kepada orang lain dengan tujuan baik (2002.453). Seorang wanita boleh mendapat bahagian pusaka harta peninggalan si mati sebagaimana yang ditetapkan oleh al-Quran dan pada waktu yang sama dia juga boleh mendapat harta tersebut dengan cara hibah. Sebagai contoh seorang lelaki meninggal dunia dan meninggalkan isteri, ayah, seorang anak perempuan dan
11
seorang anak lelaki. Sebelum meninggal lelaki tersebut telah menghadiahkan beberapa hartanya kepada anak perempuannya. Dalam keadan ini anak perempuan tersebut bukan sahaja mendapat bahagian pusaka dengan cara tacsib (berkongsi) dengan adik beradik lelaki tetapi dia juga berhak mengambil hibah yang telah diberikan si mati semasa hayatnya.
3. Perempuan boleh mendapat lebih daripada bahagian pusaka yang telah ditetapkan melalui takharuj.
Takharuj bererti persetujuan oleh seorang pewaris atau kesemua pewaris untuk menarik diri daripada mengambil haknya dalam pusaka sebaliknya pewaris tersebut menerima sesuatu sebagai ganti, sama ada gantian tersebut diambil daripada peninggalan pusaka atau tidak. (Zaidan.1994.420). Dalam kata lain, pewaris menggugurkan haknya daripada mengambil harta pusaka. Telah diriwayatkan bahawa Abdul Rahman bin cAuf mempunyai empat orang isteri. Semasa beliau dalam keadaan sakit teruk (marad al-maut), beliau telah menceraikan salah seorang isterinya iaitu tamadir bint al-asbagh dan Abdul Rahman bin cAuf meninggal ketika tamadir dalam iddah. Maka dia layak menerima harta peninggalan Abdul Rahman sebanyak 1/8. dan tamadir setuju menerima 1/4 daripada 1/8 bahagiannya, lalu dikeluarkan 83 ribu dinar sebagai gantiannya (al-Syalabiyy.1978.366).
Berdasarkan konsep takharuj ini, wanita boleh mendapat harta pusaka lebih daripada apa yang ditetapkan oleh syarak.
Penutup
Ayat 11, 12 dan 176 surah al-Nisa' menjelaskan dengan terperinci hak wanita dalam penerimaan harta pusaka. Penetapkan hak ini jelas membuktikan bahawa Islam tidak meminggirkan golongan hawa ini. Dakwaan yang mengatakan bahawa sistem pusaka Islam tidak adil kerana melebihkan lelaki dalam pusaka adalah melesit sama sekali. Lelaki dibebani dengan tanggungjawab kewangan yang berat. Justeru wajarlah mereka mendapat bahgian yang lebih berbanding perempuan sedangkan perempuan memiliki harta pusaka sepenuhnya tanpa perlu diagih kepada pihak lain. Bahkan dalam sesetengan keadaan wanita mendapat bahagian lebih berbanding lelaki. Keadilan sistem pusaka Islam tidak perlu diragukan lagi kerana Allah S.W.T Maha Adil, Maha Mengetahui keadaan hambaNya.
Bibliografi
al-Quran al-Karim
al-Quran dan terjemahannya. Madinah.1999. Majmac Malik Fahd.
Abd al-Rahman al-cAk. Adab al-hayat al-zaujiyyah fi dau’ al-Kitab wa al-sunnah. 1997. Beyrut. Dar al-Macrifah.
Fadil Hassan Abbas & Sana’ Hassan Abbas. Icjaz al-Quran al-Karim. 1991. Amman. Dar al-Furqan.
12
Ibn Kathir, Abu al-Fida’ Ismacil bin Kathir. Tafsir al-quran al-cazim. Jil.1. 1994. Riyad. Dar al-Salam
Kamus Dewan. Edisi 3.2002. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad Barraj, Jumcah Muhammad. Ahkam al-mirath fi al-syaricah al-Islamiyyah.1999. Amman. Dar Yafa al-cilmiyyah.
Al-Qurtubiyy, Abu cAbdullah bin Ahmad. Al-Jamic li ahkam al-Quran. Jil.3.1995.Beyrut. Dar al-Fikr
Al-Sabuniyy, Muhammad cAliyy. Al-Mawarith fi al-Syaricah al-Islamiyyah fi dau’ al-Kitab wa al-sunnah. 1993. Dimasyq. Dar al-Qalam.
Al-Sabuniyy, Muhammad cAliyy. Terj:H.Zaid Husein al-Hamid. Ilmu hukum waris menurut ajaran Islam. T.th. Surabaya. Mutiara Ilmu.
Al-Syalabiyy, Muhammad Mustafa. Ahkam al-mawarith bayna al-fiqh wa al-qanun. 1978.Beyrut. Dar al-Nahdah al-cArabiyyah.
Zaidan, Abd al-Karim. Al-mufassal fi ahkam al-mar'ah wa al-bayt al-muslim fi syaricah al-Islamiyyah. Cet.2.1994. Beyrut. Muassasah al-Risalah.
Zainal Abidin. Al-Faraidh. T.th. Kuliah al-Lughah wa al-Din Sultan Abu Bakar.
Al-Zuhailiyy, Wahbah. al-Fiqh al-Islamiyy wa adillatuh. J.10. 2004.Beyrut. Dar al-Fikr
13

Selasa, 17 Ogos 2010

Sahkah wasiat kepada ahli waris?

Hak Muslim - Sahkah wasiat kepada ahli waris?

Saya merupakan seorang suami yang mempunyai 2 orang isteri. Saya mempunyai 3 orang anak dari isteri pertama dan mempunyai seorang anak dari isteri kedua.

Saya mempunyai beberapa harta yang ingin saya serah dan bahagikan kepada anak-anak saya selepas kematian saya. Saya berhasrat untuk mewasiatkan harta-harta tersebut mengikut apa yang saya fikirkan adil kepada anak-anak saya.

Bagaimanapun, saya musykil kerana menurut pandangan dari beberapa rakan termasuk seorang ustaz, saya tidak dibenarkan untuk mewasiatkan harta kepada ahli waris. Saya keliru dengan siapa yang dikira sebagai ahli waris kerana saya juga telah melihat beberapa produk yang ditawarkan oleh syarikat berkaitan yang membenarkan saya untuk membuat wasiat kepada anak-anak saya.

Hassan, Kuala Lumpur.



Wasiat diharuskan dalam Islam kerana ianya membawa faedah kepada diri pewasiat, kaum keluarganya dan masyarakat amnya. Bagaimanapun, wasiat dalam Islam berbeza dengan wasiat dalam undang-undang sivil.

Pada asasnya wasiat hanya diberikan kepada bukan waris kerana tujuannya adalah untuk mendekatkan diri dengan Allah dan mengharapkan pahala. Ia juga diharap dapat memenuhi segala kekurangan yang ada ketika hayat.

Apa yang dimaksudkan dengan waris dalam konteks wasiat ialah orang-orang yang berhak mendapat pusaka dan dalam situasi kes ini anak-anak dan isteri-isteri tuan juga merupakan waris yang berhak menerima pusaka jika tuan meninggal kelak. Oleh kerana itu wasiat pada asasnya diberikan kepada bukan waris kerana mereka ini tidak termasuk dalam kalangan orang yang berhak untuk mendapat pusaka.

Nabi SAW bersabda yang maksudnya berbunyi;

“Allah telah berikan bahagian kepada setiap orang yang berhak. Maka tiada wasiat untuk waris.”

Bagaimanapun, wasiat kepada ahli waris masih boleh dilaksanakan sekiranya mendapat persetujuan dari ahli waris yang lain. Perlu diingat, ahli waris yang dimaksudkan mestilah ahli waris semasa kematian pewasiat dan bukan ahli waris semasa hayat pewasiat. Jika kesemua ahli waris bersetuju dengan wasiat yang dibuat maka perlaksanaan wasiat tersebut boleh dilaksanakan.

Merujuk kepada kes tuan, tuan boleh untuk melaksanakan wasiat kepada bukan waris. Bagaimanapun, wasiat kepada bukan waris tersebut tidak boleh melebihi dari 1/3 keseluruhan nilai harta. Tuan juga boleh mewasiatkan harta-harta tuan kepada anak-anak tuan yang juga merupakan ahli waris. Bagaimanapun, ianya bergantung kepada persetujuan waris. Wasiat kepada bukan waris melebihi 1/3 dari nilai harta juga boleh dilaksanakan sekiranya ia mendapat persetujuan waris. Harus diingat, persetujuan yang dibuat oleh waris hendaklah diperolehi selepas kematian pewasiat kerana hak tersebut hanya muncul selepas kematian pewasiat.

Pewasiat juga boleh menarik balik kesemua wasiatnya atau sebahagiannya kerana wasiat bukan suatu akad yang wajib, malahan harta yang diwasiatkan juga masih lagi menjadi milik pewasiat dalam tempoh hayatnya.

Merujuk kepada gambaran tuan kepada produk-produk yang ditawarkan, tuan perlu mendapatkan penjelasan yang lebih lanjut dari pengeluar produk-produk tersebut. Apa yang dikhuatiri ianya tidak menepati kehendak syarak. Tuan juga wajar meneliti setiap produk yangditawarkan agar ianya dapat dilaksanakan dengan sempurna selepas kematian tuan kelak.

Wallahualam.


Jawapan disediakan Roshdan Sujak Rafie, Setiausaha Agong PGSM

Merawat Suami Bisu

Merawat Suami Bisu


On 11/03/2009, in BUKU: Bercinta Sampai ke Syurga, by Abu Saif


“Yang itu mesti husband and wife,” saya mengusik Ummu Saif.

“Mana abang tahu?” isteri saya berhenti menjamah sup cendawan tengah hari itu. Melihat ke arah pasangan di sudut restoran.

“Seorang baca surat khabar, seorang baca majalah. Apa faedahnya keluar bersama jika hanya mahu membaca bersama, kecuali semata-mata kerana mereka masih suami isteri?” saya cuba berteori.

Kami bukanlah sengaja mahu menyibuk tentang urusan orang lain. Tetapi melihat pasangan suami isteri yang sepi, sunyi, tiada suara dan tiada bicara, amat menghiris rasa.

Malah mengheret ingatan kepada beberapa ketika dalam rumahtangga kami sendiri tatkala sindrom sepi dan diam ini melanda. Melakukan muhasabah ke atas diri sendiri, berkongsi kisah dengan kenalan dan membaca coretan di sana sini tentang tabiat para suami mendiamkan diri, atau lebih tepat, membatukan diri… membawa saya kepada beberapa titik renungan untuk difikirkan bersama.


“Abang, Ani tanya abang ni. Kenapa abang selalu balik lambat?” tanya seorang isteri kepada si suami.

Sepi.

Tangannya ligat mencabut tali leher, peluh di dahi dikeringkan sahaja dengan satu kesatan di lengan. Namun mulutnya terus terkunci. Tidak bersuara.

“Abang dengar ke Ani tanya ni?” tanya si isteri lagi.

“Kalau Ani ada buat salah, cakaplah bang. Macam mana Ani nak tahu apa masalah abang, kalau abang diam macam ini?” beliau semakin hilang sabar dengar kerenah si suami.

Lelaki yang dahulunya romantik, menghantar 30 sms sehari di era bulan madu mereka, dan sering mengucapkan perkataan sayang, kini membatu. Sepi. Tidak bersuara, tidak berbunyi.

Namun, seorang suami yang mendiamkan diri itu hakikatnya bukanlah tidak bercakap. Telinganya jauh sekali daripada pekak dan tidak mendengar soalan bertubi-tubi yang diajukan si isteri. Setiap soalan itu dijawab oleh sang suami dengan panjang lagi berjela. Namun semuanya dijawab tanpa suara. Hanya sebuah monolog di dalam hati. Apa yang terlontar hanyalah sebuah kesepian yang membunuh perasaan isteri.

Diam itu emas…

Tetapi emas yang ini tiada indahnya, malah beracun memusnahkan rumahtangga.

Saya juga seorang suami. Ada masanya mendiamkan diri itu sangat memberikan keselesaan. Bukan sahaja untuk diri, malah dirasakan diam itu adalah pilihan terbaik untuk reaksi kepada keadaan-keadaan tertentu. Tetapi saya cepat disedarkan oleh isteri bahawa diam itu menyulitkan penyelesaian. Ia misteri yang membinasakan.

Kali ini, dengan jiwa empati saya mengajak para isteri untuk meneliti rentetan-rentetan peristiwa yang menjadi punca para suami hilang bicara. Para isteri boleh bersikap defensif dan menafikan faktor-faktor ini, tetapi keengganan memprosesnyai, hanya akan menambahkan sakit hati mereka sebagai isteri, melihat suami terus diam sepi seribu bahasa.

AKUMULATIF

Jarang sekali suami tiba-tiba menjadi pendiam.

Bersuamikan seorang lelaki pendiam yang begitu semenjak di hari menyatakan persetujuan menerimanya sebagai suami, sang isteri tidak harus buat-buat terkejut. Diamnya mungkin petanda beliau masih lelaki yang sama seperti di hari pernikahan anda.

Tetapi kebimbangan kita adalah pada suami yang beransur-ansur menjadi pendiam. Kesan jangka panjang yang bersifat akumulatif. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit, satu-satu lama-lama jadi bisu. Justeru, sebagaimana seorang suami yang bercakap beransur-ansur menjadi pendiam, maka usaha untuk mengembalikan percakapannya juga wajar dibuat secara berhemah, bagai menarik rambut di dalam tepung. Rambut tidak putus dan tepung tidak tumpah bertebaran.


Apakah ini kesudahan suamimu?

KEPERCAYAAN DAN KEYAKINAN

Sebuah perkahwinan, bermula dengan ikatan janji setia yang terbina di atas beberapa teras. Antara yang utamanya adalah soal KEPERCAYAAN. Mustahil untuk kita bayangkan sebuah rumahtangga yang dibina tanpa ada rasa percaya di antara suami dan isteri berkaitan ketelusan, kejujuran dan keikhlasan masing-masing. Justeru, perbualan romantik dan indah antara suami dan isteri sentiasa seiringan dengan rasa percaya dan yakin di antara mereka berdua.

Apabila seorang suami semakin merosot kualiti komunikasinya, ada kemungkinan ia berpunca daripada merosotnya keyakinan beliau terhadap sang isteri. Ia bukanlah berkaitan dengan krisis orang ketiga atau hal-hal luaran yang mencabar rumahtangga tersebut. Sebaliknya, suami semakin terjejas keyakinannya terhadap kemampuan isteri berdepan dengan realiti.

“Mampu dan tahankah isteriku untuk mengetahui apa sebenarnya yang terbuku di hati ini?” mungkin soalan sebegini bermain di benak fikiran suami, tatkala beliau diam membatu di hadapan isteri yang masih menyoal tanpa henti.

Bukan beliau tidak pernah bersuara dan menyatakan pendirian, tetapi reaksi isteri yang memedihkan ketika itu menyebabkan suami hilang kepercayaan. Tanda tanya ini sering timbul disebabkan oleh perbuatan isteri yang berulang kali tanpa sedar, merosakkan kepercayaan suami bahawa dia benar-benar terbuka dan sabar untuk menguruskan ‘isu sebenar’.

Cuba kenangkan kembali, pernahkah sang suami menegur anda atas beberapa perkara yang dirasakan tidak kena? Bagaimanakah reaksi anda ketika itu? Adakah anda menghargai teguran tersebut, memberikan tindak balas yang baik, atau anda menyambut teguran itu dengan memuncung sepanjang hari, mengangkat punggung melarikan diri, atau membalas teguran dengan jawapan alasan yang bertubi-tubi?

Suami yang tidak pelupa itu, berkemungkinan besar masih ingat akan kejadian-kejadian tersebut. Bahawa biar pun sang isteri meminta-minta luahan isi sebenar sang suami, hakikatnya si isteri bukanlah kuat benar untuk mendengar ‘kisah benar’ yang diminta. Justeru sifat ‘sabar’ luar biasa kaum lelaki, ditelannya sahaja pandangan diri yang sering diperlekeh sebelum ini untuk dibawa ke kubur nanti. Dan kesan sampingannya, si suami semakin mengeras jadi batu.

“Lebih baik dia tidak tahu apa sebenarnya pandanganku tentang rumahtangga ini kerana aku boleh hidup dengannya. Sabarku boleh sampai ke mati. Tetapi aku mungkin tidak mampu lagi sabar andai dirinya membesar-besarkan masalah ini. Perasaanku tidak penting. Apa yang penting adalah keselamatan rumahtangga!” hati suami berkata-kata dengan panjang lebar, tanpa suara.

Oleh itu, seorang isteri yang mahu mengubah sifat pendiam suami perlu berusaha meyakinkan dirinya semula. Bahawa tatkala si isteri meminta suaminya berkata-kata, ia bukanlah permintaan ‘mengada-ngada’, sebaliknya si isteri memang bersedia untuk duduk bersemuka dan berbicara. Kembalikanlah kepercayaan suami dengan beberapa pendekatan berikut:

HAPUSKAN TEKANAN

Mengajak kepada perbincangan dalam suasana yang penuh tekanan bukanlah tindakan yang bijak. Malah suami mungkin bertindak bijak mendiamkan diri, tatkala isteri menembak peluru taburnya kepada suami ketika kaki baru sebelah melangkah masuk ke rumah sekembalinya dari pejabat.

Sabarkan diri. Beri masa kepada suami untuk bertenang. Malah lebih baik jika anda usahakan appointment dengan memberitahu suami bahawa anda ingin mengajaknya minum hot chocolate selepas anak-anak tidur, untuk berbual-bual tentang hal ehwal anda berdua.

Gurau senda juga amat berkesan untuk mencairkan kebekuan seorang suami. Bilakah kali terakhir anda mempamerkan sense of humor kepada suami? Atau dialog yang keluar dari mulut anda semuanya bersifat masalah, permintaan, arahan, tekanan, teguran dan segala macam benda yang serius lagi menambah tekanan.

Berguraulah dengan suami.

Jika tiada lawak baru, ungkit sahaja lawak-lawak lama yang pernah menyebabkan anda berdua ketawa terkekek-kekek suatu ketika dahulu. Jarang seorang lelaki immune terhadap lawak jenaka. Malah mungkin ketiadaan unsur inilah yang menjadi sebab utama mengapa suami ceria dan ketawa berdekah-dekah semasa minum petang dengan kawan-kawannya, tetapi sepi tanpa bicara tatkala duduk di sisi isteri yang dicintainya.

IKTIRAF KESILAPAN

Tidak rugi bagi seorang isteri untuk merendahkan diri mengiktiraf beberapa kesilapannya yang lalu. Menyatakan kekesalannya membentak teguran suami pada suatu ketika dahulu. Yakinkan suami bahawa anda bukan lagi isteri yang ‘cepat melatah’, melenting dan mengamuk semasa suami bersuara pada suatu ketika dahulu.

Sikap isteri yang membantah pandangan suami sedemikian rupa mungkin telah membina satu persepsi di minda suami bahawa isterinya adalah seorang wanita yang ego. Buktikan kesalahan persepsi itu, bahawa anda adalah isteri yang masih duduk sama rendah berdiri sama tinggi bersama suami di sisi.

Mungkin bukan salah anda, tetapi demi mencungkil suara suami yang bagai disumpah sang gelembai itu, rendahkanlah dirimu. Anda boleh terus defensif, namun harganya ialah bersuamikan lelaki bisu.

BANTUAN ORANG TENGAH

Jika sms dan email anda tidak berhasil, bicara dengan suara bernada rendah tidak berjaya, mungkin bantuan orang tengah boleh membantu.

Apakah anda mahu meminta bantuan best friend anda atau best friend suami?

Secara logiknya, usaha menggunakan orang tengah ini akan lebih berpotensi untuk berhasil jika anda cuba meminta bantuan orang kepercayaan suami.

Berhubung dan bincanglah dengannya sebaik mungkin. Anda mungkin juga terpaksa berjuang untuk membina kepercayaan di antara anda dengan teman akrab sang suami kerana ada kebarangkalian dia itu juga dari spesis yang sama dengan suami anda sendiri. Namun tanpa tekanan dan gangguan-gangguan kesilapan lalu, usaha untuk berkomunikasi dengan sahabat suami jauh lebih mudah berbanding usaha untuk berkomunikasi dengan suami sendiri.

Jika anda bernasib baik, beliau mungkin akan berkongsi dengan anda isi-isi hati suami tatkala beliau bercakap tanpa suara semasa di hadapan anda. Dia tidak meluahkannya kepada anda, tetapi kepada teman karibnya. Anda berhak untuk berkecil hati, tetapi abaikanlah perasaan itu. Sebaliknya rancangan strategi yang sesuai dengan ‘pendedahan’ yang telah anda perolehi daripada sahabatnya itu tadi.

Anda boleh jadikan pendedahan itu sebagai alat untuk memusnahkan terus rumahtangga, atau anda juga boleh menjadikannya sebagai alat penyelamat. Terpulang…

Apa yang pasti, hanyalah satu.

Perempuan sering tidak rasional semasa membuat bising, lelaki pula sering tidak rasional semasa mendiamkan diri.

Belajarlah untuk mengurangkan kebisingan, wahai sang isteri. Belajarlah untuk bersuara, wahai sang suami.



ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 Ampang

Ahad, 15 Ogos 2010

HARTA SEPENCARIAN : KONSEP DAN AMALAN

Pada dasarnya, konsep harta sepencarian tidak dibincangkan secara khusus oleh para ulama’. Malah tidak ada sebarang dalil nas yang jelas berkaitannya. Namun para ulama’ telah memberi pelbagai pandangan dalam membicarakan tentang harta sepencarian. Ada yang menyebut ia sebagai “Mata’ al-Bayt” iaitu perkakasan rumah dan ada yang menyebut sebagai “Mal al-Zawjayn” yang bermaksud harta suami isteri.


Apa yang jelas, harta sepencarian tidak boleh dianggap sebagai satu aqad perkongsian (al-Syarikah). Ini kerana harta sepencarian dikuatkuasakan melalui perkongsian hasil suami dan isteri. Walaupun ketika aqad nikah wujud satu bentuk aqad, namun ia tidak boleh dianggap aqad bagi kontrak secara langsung menimbulkan harta sepencarian. Ini kerana, ijab dan qabul tersebut hanyalah bertujuan menghalalkan satu pergaulan antara suami dan isteri sahaja.


Adat Melayu


Jika dilihat sejarah lampau, harta sepencarian telahpun dianggap sebagai satu bentuk adat dalam masyarakat Melayu. Menurut Adat Pepatih, ia disebut sebagai ”carian laki bini”. Misalnya dalam kes Hasmah lwn Jalil, telah diputuskan bahawa harta carian laki bini hendaklah dibahagikan dua antara suami dan isteri apabila berlaku perceraian.


Malah jika diamati, sebelum pindaan Perkara 121(1A), kebanyakan keputusan para hakim Inggeris berkaitan harta sepencarian lebih


cenderung merujuk kepada pemakaian adat setempat orang Melayu. Dalam kes Robert lwn Boto’, diputuskan bahawa harta yang menjadi pertikaian dianggap sebagai harta sepencarian dan mahkamah akan membahagikan setiap setengah bahagian jika pihak-pihak bersetuju. Ini adalah berdasarkan kepada anggapan bahawa ia adalah satu adat dan bukannya hukum syarak.


Hukum Syarak


Persoalannya kini, adakah harta sepencarian itu diktiraf oleh hukum syarak? Sepertimana disebut sebelum ini, meskipun harta sepencarian tidak dijelaskan oleh apa-apa dalil nas, namun ulama’ masih lagi memperakuinya berdasarkan konsep uruf (adat) dan maslahah setempat. Ini mengambilkira soal keadilan kedua-dua pihak selaras firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nur Ayat 32 menyatakan “orang –orang lelaki beroleh bahagian daripada usahanya dan orang-orang perempuan beroleh bahagian daripada usahanya juga”. Maka apabila sesuatu uruf itu diperakui baik dan sesuai oleh undang-undang kedudukannya, maka ia akan menjadi peraturan yang perlu dipatuhi. Malah ia selaras dengan kaedah fiqh antaranya ialah ”adat yang diakui sebagai hukum” dan juga ”uruf itu diiktibarkan oleh syarak”.


Oleh itu, kini hata sepencarian telahpun dianggap sebahagian daripada undang-undang Islam. Malah Mahkamah Syariah telahpun diberi bidangkuasa khusus dan eksklusif bagi membicarakannya. Ia juga telah diperuntukan dalam semua Enakmen Pentadbiran Keluarga Islam di setiap negeri dan juga dalam Arahan Amalan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).


Misalnya dibawah Seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 “harta sepencarian” ditafsirkan sebagai harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak. Berdasarkan takrif yang diperuntukan, bolehlah difahami bahawa harta sepencarian termasuklah harta samada harta alih atau tidak alih yang diperoleh suami dan isteri melalui usaha mereka bersama dan bukannya daripada satu pihak sahaja semasa perkahwinan. Harta yang dikumpul selepas perceraian atau kematian tidaklah boleh dianggap sebagai harta sepencarian.


Sumbangan tidak langsung


Namun kini, konsep harta sepencarian telah mula diluaskan termasuk juga harta yang diperoleh suami melalui usahanya sendiri semasa perkahwinan dengan sumbangan secara tidak langsung daripada isteri. Sumbangan tidak langsung bermaksud suatu usaha yang disumbangkan oleh mana-mana pasangan dalam mendapatkan harta itu di mana usaha yang disumbangkan adalah kecil berbanding dengan hasil atau manfaat sumbangan itu yang menghasilkan sesuatu harta yang besar.


Ini bermaksud, salah satu pasangan memberi sumbangan secara tidak langsung samaada melalui idea, dorongan, nasihat, keselesaan, ketenteraman dan sebagainya kepada pasangan satu lagi yang berusaha dan berjaya dalam mendapatkan harta itu. Dalam kes Tengku Anum Zaharah, mahkamah memutuskan bahawa harta yang menjadi pertikaian ialah harta sepencarian hasil daripada sumbangan tidak langsung isteri yang berketurunan berpengaruh. Kesan pengaruh isteri membolehkan suaminya mendapat gelaran Dato’ dan berjaya memajukan perniagaannya.

Tuntutan

Bagi tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Syariah, ia boleh dilaksanakan dalam tiga keadaan iaitu tuntutan selepas perceraian, tuntutan semasa perkahwinan dan juga tuntutan selepas kematian. Bagi tuntutan selepas perceraian, Seksyen 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 misalnya memperuntukkan bahawa mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk memerintahkan pembahagian harta sepencarian apabila mahkamah itu membenarkan lafaz cerai atau perintah perceraian. Oleh itu, mahkamah hanya berbidangkuasa membicarakan kes harta sepencarian di mahkamah di negeri di mana perceraian berlaku dan didaftarkan.


Tuntutan harta sepencarian juga boleh dibuat semasa tempoh perkahwinan. Seksyen 23(10)(b) memperuntukan bahawa isteri boleh memohon perintah daripada mahkamah supaya diadakan terlebih dahulu pembahagian harta sepencarian sebelum permohonan poligami disahkan. Malah Seksyen 119(11) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003 menyebut bahawa sebelum Mahkamah mengesahkan keluar agama, satu perintah untuk membahagikan harta sepencarian hendaklah dilaksanakan. Kedua-dua peruntukan tersebut berkaitan dengan permohonan poligami dan juga keluar agama Islam.


Bagi tuntutan selepas kematian, meskipun tiada peruntukan khusus yang membolehkan mahkamah membahagikan harta sepencarian sekiranya akibat kematian, namun fatwa negeri Selangor menjelaskan bahawa jika berlaku kematian, maka pihak yang hidup boleh memohon pengisytiharan harta sepencarian sebelum harta itu menjadi harta pusaka. Jadi pihak itu perlu membuktikan bahawa sebahagian harta itu adalah harta sepencarian.

Penyelesaian

Kaedah penyelesaian apabila melibatkan harta sepencarian ialah melalui kaedah sulh iaitu dengan cara berdamai samada melalui pengakuan dan penyerahan hak pemilikan kepada satu pihak lagi atau nilai harta yang dipersetujui dibahagi mengikut persetujuan. Persetujuan ini boleh dibuat samaada di luar mahkamah atau di hadapan pegawai sulh dan kemudian ianya akan diendors sebagai satu perintah oleh mahkamah.


Kaedah lain adalah melalui persetujuan semasa perbicaraan sedang berlangsung. Hakim kebiasaannya akan memberi peluang kepada kdua-dua pihak untuk mencapai persetujuan bersama. Maka persetujuan ini akan diendors sebagai satu perintah Mahkamah.


Sekiranya kedua-dua kaedah tersebut tidak dapat menyelesaikan pertikaian, maka mahkamah akan meneliti setiap keterangan dan penghujahan pihak-pihak. Seterusnya mahkamah akan memutuskan pembahagian harta sepencarian tersebut melalui perintah mahkamah.

Hak-Hak Wanita Dalam Islam : Satu Sorotan Terhadap Perundangan Keluarga Islam di Malaysia

Antara peranan utama pemerintah ialah menekankan betapa pentingnya pemeliharaan terhadap hak golongan minoriti dan wanita. Pada pandangan penulis, golongan wanita di Malaysia telah mendapat segala hak utama yang mereka kehendaki samada dari segi peluang pekerjaan,dalam bidang ekonomi,pemilikan harta,hak bersuara dan sebagainya.Pendek kata,golongan wanita di Malaysia merupakan golongan yang boleh dianggap “istimewa” berbanding golongan wanita di negara-negara Islam lain. Golongan wanita di Malaysia tidak mendapat diskriminasi dan mendapat hak yang sama dengan golongan masyarakat yang lain.Malah kerajaan Malaysia telah menetapkan bahawa menjelang 2020, 30 peratus daripada pembuat dasar kerajaan adalah melibatkan golongan wanita.Kerajaan juga telah menubuhkan kementerian khusus bagi menjaga hak dan pembangunan wanita di Malaysia.



Prinsip menghormati dan mengangkat hak serta martabat wanita telah dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan.Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa : ” Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang“.Jelas, Perlembagaan Malaysia mengiktiraf semua golongan di Malaysia dan mendapat perlindungan yang sama rata tanpa membezakan antara agama,bangsa dan jantina seseorang.Di sudut Islam, martabat kaum wanita tidak pernah dipandang rendah.Tetapi perlu diingat bahawa Islam tidak pula menyamakan antara lelaki dan perempuan.Apa yang penting Islam menghormati kaum wanita dan mengangkatnya kepada darjat yang tinggi mengikut lunas-lunas Islam.





Di sini,penulis akan menyatakan antara petikan Al-Quran dan Hadith yang berkaitan dengan wanita.Dalam Surah Ali-Imran ayat 195, Allah berfirman yang bermaksud: …” Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu,sama ada lelaki atau perempuan,(kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain”….Begitu juga dalam Hadith,Rasullulah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Wanita itu adalah pemimpin dalam rumahtangga suaminya, dan akan ditanya tentang pimpinannya”.Berdasarkan ayat Al-Quran dan Hadith tersebut,jelas menunjukkan bahawa Islam memartabatkan kaum wanita.Islam tidak membezakan mereka dengan kaum lelaki khususnya dalam perkara yang melibatkan ibadat.Mereka masing-masing mendapat pahala disisi Allah mengikut amalan masing-masing.



Penulisan ini akan mengungkaikan hak wanita yang melibatkan hak mereka di dalam Undang-undang Keluarga Islam yang terlaksana di Malaysia [Rujukan kepada Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984].Di Malaysia,hak seseorang wanita itu telah ditentukan dengan jelas di dalam Undang -undang Keluarga Islam setiap negeri.Tujuan perundangan ini diwujudkan adalah untuk memberi keadilan kepada kaum wanita supaya mereka mendapat hak sepatutnya dan tidak ditindas.Disamping itu,ia juga bertujuan untuk membolehkan pihak wanita menuntut hak yang sepatutnya diberi bersandarkan kepada tuntutan Hukum Syarak.





Hak Untuk Berkahwin



Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 [selepas ini disebut AUKI 1984], hak seseorang wanita untuk berkahwin telah diperuntukkan dengan jelas di bawah seksyen 8 iaitu: “Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah Akta ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu“. Tujuan peruntukkan ini dibuat bukanlah sebagai satu bentuk sekatan bagi pasangan pengantin berkahwin pada umur yang muda.Namun ia bertujuan untuk memastikan setiap pasangan mempunyai tahap kematangan yang mencukupi dan mempunyai persediaan untuk memikul tanggungjawab yang besar dalam institusi kekeluargaan.Jelas,dengan peruntukkan ini,mungkin sedikit sebanyak dapat mengurangkan kes-kes perceraian dan masalah kes suami yang tidak mampu memberi nafkah dan tidak bertanggungjawab sebagai seorang suami.



Hak Terhadap Mas Kahwin



Wanita juga diberi hak sepenuhnya terhadap mas kahwin yang dibayar terhadap masa akad nikah dijalankan,bahkan hak isteri ke atas mas kahwin tersebut tidak boleh digugurkan atas alasan perceraian ataupun pembubaran perkahwinan.Jika suami masih berhutang mas kahwin terhadap bekas isterinya,dia boleh mengemukakan aduan ke Mahkamah untuk mendapatkan jumlah mas kahwin yang masih terhutang.



Hak Dalam Poligami



Dalam AUKI 1984,telah menetapkan hak bagi setiap wanita untuk mendapat perlindungan daripada suami yang berpoligami.Dalam konteks ini,Akta ini telah menetapkan beberapa syarat sebelum lelaki itu dibenarkan oleh mahkamah berbuat demikian.Seksyen 23 menjelaskan bahawa seseorang lelaki itu semasa masih didalam perkahwinan membuat kontrak perkahwinan yang lain dengan perempuan lain kecuali dengan kebenaran daripada mahkamah.



Seksyen 123 menyatakan sekiranya lelaki berkenaan tidak mendapat kebenaran bertulis sepertimana yang diperuntukkan dalam seksyen 23 dan kemudiannya berkahwin lagi,maka dia telah melakukan satu kesalahan dan boleh dihukum denda sehingga RM1000 atau penjara sehingga 6 bulan atau kedua-duanya sekali.Selain itu,Mahkamah juga perlu berpuas hati tentang lima perkara sebelum kebenaran diberikan iaitu :



a) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah perlu dan patut memandang kepada,hal-hal keadaan yang berikut,iaitu,kemandulan,keuzuran jasmani,tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan,sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak-hak persetubuhan atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada;



b) bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung,sebagaimana dikehendaki oleh Hukum Syarak,semua isteri dan orang tanggungannya,termasuk orang-orang yang akan menjadi orang-orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu;



c) bahawa pemohon akan berupaya memberi layanan sama rata kepada semua isterinya mengikut kehendak Hukum Syarak;



d) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan ‘darar syarie’ kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada;dan



Peruntukan tentang poligami dalam Undang-Undang Keluarga Islam jelas memberi satu bentuk keadilan dan segala perlindungan kepada kaum wanita di mana ia memberi segala hak dan kepentingan isteri yang sedia ada terjamin dan tidak tertindas.Contohnya,isteri yang sedia ada akan diserahkan satu salinan permohonan dan akuan berkanun bersama dengan saman (untuk hadir ke Mahkamah) kepada mereka sebagai makluman awal sebelum permohonan poligami dibuat.Semua peruntukkan ini dibuat bukanlah bertujuan untuk menghapuskan terus poligami yang dibenarkan oleh Islam tetapi ianya diadakan agar tujuan poligami sebenar tidak disalahgunakan dan untuk mengelakkan diskriminasi terhadap wanita.





Hak-Hak Lain



a) Hak untuk mendapatkan perceraian secara khulu’ atau tebus talaq bagi membatalkan ikatan perkahwinan dengan sebab-sebab yang munasabah dan telah diputuskan oleh Mahkamah sepertimana diperuntukkan dalam subseksyen 49(1):“Jika suami tidak bersetuju menjatuhkan talaq dengan kerelaannya sendiri,tetapi pihak-pihak itu bersetuju bercerai dengan cara penebusan atau cerai tebus talaq,Mahkamah hendaklah selepas jumlah bayaran tebus talaq dipersetujui oleh pihak-pihak itu,mengarahkan suami itu melafazkan perceraian dengan cara penebusan dan perceraian itu adalah bain sughra atau tak boleh diruju’kan”



b) Hak untuk mendapatkan perceraian di bawah takliq atau janji sepertimana diperuntukkan di bawah seksyen 50(1):“Seseorang perempuan yang bersuami boleh,jika berhak mendapat perceraian menurut syarat-syarat surat perakuan takliq yang dibuat selepas berkahwin,memohon kepada Mahkamah untuk menetapkan bahawa perceraian yang demikian telah berlaku”



c) Hak untuk membubarkan perkahwinan atau fasakh jika terdapat satu atau lebih daripada alasan-alasan munasabah sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 52.



d) Hak terhadap harta sepencarian sepertimana yang diperuntukkan dalam seksyen 58(1):“Mahkamah adalah mempunyai kuasa,apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah perceraian,memerintah suapaya apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu”



e) Hak terhadap nafkah eddah di mana seorang isteri yang diceraikan berhak mendapat nafkah eddah yang diberi oleh bekas suaminya sepanjang tempoh eddah.Dalam seksyen 59(1) menyatakan: “Tertakluk kepada hukum syarak,Mahkamah boleh memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya”



f) Hak untuk mendapatkan tempat tinggal sebagaimana diperuntukkan dalam seksyen 71(1): “Seseorang perempuan yang diceraikan adalah berhak tinggal di rumah di mana dia biasa tinggal semasa dia berkahwin selagi suami tidak mendapatkan tempat tinggal lain yang sesuai untuk isteri”



g) Hak keutamaan dalam hadhanah bagi menjamin kebajikan kanak-kanak tersebut seperti dalam seksyen 81(1): ” Tertakluk kepada seksyen 82,ibu adalah yang paling berhak dari segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan”





Secara ringkasnya,ini adalah diantara peruntukkan yang secara jelas memberi satu kelebihan dan menjaga kedudukan mereka sebagai seorang isteri dalam perkahwinan.Dengan adanya peruntukkan Undang-Undang Keluarga Islam,diharapkan bahawa kaum wanita dapat berfikir bijak dan dapat menentukan hak-hak mereka supaya kedudukan mereka terbela dan terjamin.Sesungguhnya Islam telah mengangkat martabat kaum wanita dengan segala keistimewaan yang telah diciptakan oleh Allah.Perlu diingat bahawa segala kelebihan ini perlulah digunakan secara bijaksana dan meskipun Islam telah memberi segala hak kepada wanita,mereka perlulah tidak melampaui batas serta tidak “meminta-minta” atau cuba melaksanakan peraturan yang terlalu menonjol hingga melampaui batasan mereka sebagai seorang wanita.Walau apapun hak yang cuba ditegakkan oleh mereka atas alasan hak asasi,ianya tidak boleh sama sekali melanggar Hukum Syarak yang telah ditetapkan oleh Allah.